Jabatan Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia (JPUTM) secara rasminya melancarkan Pelan Tindakan 2026 yang membawa aspirasi “The ASCENDING Library” sebagai kompas strategik dalam memperkasa ekosistem ilmu global. Amanat penting ini disampaikan pada 1 April oleh Ketua Pustakawan UTM, Puan Khairulbahiyah binti Yaakub, dalam satu majlis taklimat khas yang menghimpunkan seluruh warga perpustakaan dari kampus Johor Bahru, Kuala Lumpur, dan Pagoh.

Majlis yang berlangsung di Perpustakaan Raja Zarith Sofiah itu menyaksikan kehadiran fizikal staf di Johor Bahru, manakala warga kerja dari UTM Kuala Lumpur dan Hab Pendidikan Tinggi Pagoh turut serta secara dalam talian melalui aplikasi Cisco Webex. Integrasi teknologi ini mencerminkan kesediaan jabatan dalam mengamalkan budaya kerja digital yang menjadi teras utama transformasi universiti.

Mendaki “Al-Aqabah”

Dalam ucapannya, Puan Khairulbahiyah menekankan bahawa hala tuju 2026 ini bukan sekadar kesinambungan rutin, tetapi merupakan satu anjakan paradigma yang selari dengan pelan UTM ASCEND 2030 dan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035.
“Kita sedang melangkah ke fasa The ASCENDING Library. Ini adalah perjalanan mendaki atau ‘Al-Aqabah’ yang menuntut pengorbanan, daya tahan, dan inovasi bagi memastikan perpustakaan kekal sebagai nadi kecemerlangan akademik dan penyelidikan,” ujar beliau di hadapan lebih ratusan staf yang mengikuti taklimat tersebut.

Empat Hab Utama Pemacu Inovasi

Hab Perpustakaan Digital Termaju akan menjadi tonggak utama dalam mengintegrasikan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dan analitik data bagi meningkatkan kecekapan operasi serta pengalaman pengguna. Antara inisiatif utama termasuklah pembangunan makerspace, studio multimedia dan makmal pemasaran digital yang bakal mengetengahkan perpustakaan sebagai ruang pembelajaran ekspolatori dan kolaboratif strategik kepada pengguna. Selain itu, perkhidmatan sokongan pengguna akan diperkasa melalui pembangunan aplikasi Chatbot AI – Library Information Assistance (LIA) dan Library Research Assistant (LRA) yang tersedia sepanjang masa.

Melalui Hab Sumber Maklumat Pintar, JPUTM mentransformasikan pendekatan perolehan kepada model berasaskan permintaan (Demand-Driven Acquisition) bagi mengoptimumkan pulangan nilai (ROI) dan memastikan pelaburan sumber ilmu yang lebih strategik. Hab ini turut menerajui agenda Sains Terbuka (Open Science) serta pelaksanaan Perjanjian Transformatif (Transformative Agreements), sekali gus membolehkan penyelidik UTM menerbitkan dalam jurnal akses terbuka tanpa kos. Inisiatif ini bukan sahaja memperluas akses dan perkongsian ilmu secara inklusif, malah melonjakkan keterlihatan global, reputasi akademik dan daya saing universiti di persada antarabangsa.

Jabatan Perpustakaan UTM juga berperanan sebagai Hab Kolaborasi Penyelidikan Strategik yang menjadi penghubung antara universiti, industri, dan komuniti melalui inisiatif seperti Sains Warga (Citizen Science). Perpustakaan juga komited dalam memelihara warisan intelektual dan budaya melalui pembangunan Muzium Warisan UTM dan Galeri Bangsa Johor Bahagia. Melalui kolaborasi ini, perpustakaan berfungsi sebagai pemangkin kepada penciptaan ilmu baharu yang memberi impak sosial yang nyata kepada masyarakat setempat.

Peranan JPUTM sebagai Hab Inklusiviti dan Lestari menekankan matlamat perpustakaan untuk menyediakan akses maklumat yang saksama kepada semua lapisan masyarakat, termasuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU) Penglihatan. Inisiatif seperti transliterasi Braille dan pembangunan buku audio menerusi projek “Baca Celik Hati” membuktikan komitmen JPUTM terhadap pendidikan inklusif. Di samping itu, transformasi ruang fizikal yang santai dengan konsep sejahtera yang popular seperti “Hygge” bakal disediakan bagi menyokong emosi dan fokus pelajar dalam ekosistem pembelajaran yang lestari.

Pelan Tindakan 2026 dan Kelestarian Kewangan

Ketua Pustakawan turut membentangkan Pelan Tindakan 2026 yang merangkumi 9 projek utama yang bakal menyokong Pelan Strategik UTM – ASCEND 2026-2030. Beliau juga memperkenalkan konsep “Perpustakaan sebagai Enjin Pelaburan Ilmu”, iaitu peralihan fungsi perpustakaan daripada pusat kos kepada entiti yang menjana nilai melalui inisiatif filantropi seperti endowmen dan wakaf.

Memperkasa HEART@Library

Di akhir amanatnya, beliau menyeru seluruh warga JPUTM untuk menghayati nilai HEART@Library (Highly Engaged & Resilient Team).

“Walau sehebat mana pun teknologi yang kita cipta, JPUTM mesti kekal sebagai institusi yang memanusiakan manusia. Dengan pegangan keramat ‘Kerana Tuhan Untuk Manusia’, kita akan pastikan setiap bit data dan helaian ilmu yang kita uruskan memberi impak kepada kesejahteraan sejagat,” tegas beliau menutup bicara.

Majlis turut diserikan dengan momen penuh inspirasi melalui penganugerahan Ikon Daya Budiman yang diberikan kepada tiga orang staf JPUTM sebagai pengiktirafan atas inisiatif tinggi serta amalan budi pekerti cemerlang dalam melaksanakan amanah jabatan. Tahniah diucapkan kepada penerima iaitu Encik Noor Amirul Amin bin Ahmad, Encik Abdul Halim bin Hassan, dan Puan Nas Rashidah binti Mohd Mustaza.

Share this :
UTM Open Day