JOHOR BAHRU, 29 Jun 2026 – Jabatan Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia (JPUTM) melalui Bahagian Ilmu Pengetahuan Institusi telah menganjurkan Program Sejarah Lisan Tokoh Akademik dan Pengurusan UTM bersama Puan Zaleha binti Atan, Timbalan Ketua Pustakawan (Perkhidmatan), bertempat di Bilik Eksekutif (Studio Podcast), Aras 4, Bangunan Perpustakaan Raja Zarith Sofiah, UTM Johor Bahru. Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Jabatan Perpustakaan UTM dalam memelihara dan mendokumentasikan khazanah pengetahuan tersirat (tacit knowledge) melalui rakaman sejarah lisan yang akan disimpan sebagai koleksi arkib institusi.
Program Sejarah Lisan Tokoh Akademik dan Pengurusan UTM bertujuan merakam pengalaman, pengetahuan serta sumbangan tokoh-tokoh akademik dan pengurusan UTM sebagai sumber rujukan yang bernilai kepada generasi akan datang. Hasil temu bual ini akan didokumentasikan dalam bentuk rakaman video dan transkrip untuk dipelihara sebagai Koleksi Arkib UTM, sekali gus memperkukuh usaha universiti dalam memelihara memori institusi dan warisan ilmu.
Sepanjang sesi temu bual, Puan Zaleha berkongsi perjalanan kerjaya beliau yang bermula sebagai seorang pustakawan sehingga dilantik sebagai Timbalan Ketua Pustakawan (Perkhidmatan), Jabatan Perpustakaan UTM. Beliau turut berkongsi pengalaman memimpin Bahagian Perkhidmatan, termasuk usaha memperkasakan penyampaian perkhidmatan perpustakaan, mengurus transformasi digital, serta memastikan kecemerlangan perkhidmatan kepada komuniti universiti.
Beliau turut berkongsi pengalaman mengharungi pelbagai fasa transformasi Jabatan Perpustakaan UTM daripada perkhidmatan konvensional kepada persekitaran digital, di samping cabaran dalam menyesuaikan teknologi, proses kerja dan pembangunan modal insan. Selain itu, beliau berkongsi penglibatan aktif dalam pelaksanaan Sistem Pengurusan Kualiti (SPK), pengalaman sebagai auditor, serta kepentingan budaya penambahbaikan berterusan dalam memperkukuh tadbir urus dan penyampaian perkhidmatan universiti. Mengakhiri sesi temu bual, Puan Zaleha menyampaikan amanat kepada generasi pustakawan agar sentiasa mengamalkan budaya pembelajaran sepanjang hayat, bersedia menghadapi perubahan teknologi, serta mengekalkan integriti, profesionalisme dan semangat berkhidmat demi memastikan perpustakaan kekal relevan sebagai rakan strategik kepada universiti dalam menyokong pengajaran, pembelajaran, penyelidikan dan inovasi.
Penganjuran Program Sejarah Lisan Tokoh Akademik dan Pengurusan UTM ini mencerminkan komitmen Jabatan Perpustakaan UTM dalam memelihara warisan ilmu, pengalaman dan kepimpinan tokoh-tokoh universiti sebagai khazanah institusi yang akan terus dimanfaatkan oleh warga UTM serta penyelidik pada masa hadapan.