JOHOR BAHRU, 11 Ogos 2026 – Jabatan Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menerima kunjungan Jawatankuasa Eksekutif Jabatan Pendaftar (JEP) menerusi satu sesi lawatan ke Arkib Perpustakaan UTM serta Pusat Rekod Jabatan yang melibatkan Bahagian Pengurusan Organisasi (BPO) dan Bahagian Pengurusan Akademik (BPA).


Sesi yang berlangsung di Bangunan Perpustakaan Raja Zarith Sofiah (PRZSz ini menjadi platform untuk memberikan pendedahan kepada ahli JEP mengenai pengurusan arkib dan rekod jabatan yang dilaksanakan di UTM, di samping memperkukuh kefahaman mengenai kepentingan pemeliharaan bahan dan rekod yang mempunyai nilai kepada sejarah serta memori institusi universiti.


Lawatan dimulakan pada jam 3.30 petang dengan taklimat ringkas oleh Bahagian Ilmu Pengetahuan Institusi, Jabatan Perpustakaan UTM, diikuti dengan sesi bergambar. Para peserta kemudiannya dibawa melawat ke beberapa lokasi berkaitan pengurusan arkib dan rekod di universiti di dalam Bilik Koleksi Khas, Bangunan PRZS.


Antara lokasi yang dikunjungi ialah Arkib Perpustakaan, Pusat Rekod Jabatan Bahagian Pengurusan Organisasi (BPO) dan Pusat Rekod Jabatan Bahagian Pengurusan Akademik (BPA). Lawatan ini memberi ruang kepada ahli JEP untuk melihat dengan lebih dekat kemudahan serta persekitaran penyimpanan dan pengurusan rekod yang terdapat di lokasi berkenaan.
Selain sesi lawatan, program turut diserikan dengan Majlis Penyerahan Koleksi Jubah dan Kelengkapan Akademik kepada pihak Jabatan Perpustakaan yang berlangsung di Ruang Pucuk Rebung (RPR), Aras 1, Blok F54. Ruang Pucuk Rebung merupakan pusat utama pengurusan pakaian konvokesyen (jubah) di UTM, di samping menjadi lokasi bagi urusan pengambilan skrol, sijil serta transkrip akademik para graduan.


Penyerahan tersebut melibatkan pelbagai koleksi lama berkaitan istiadat dan tradisi akademik universiti, antaranya jubah VIP lama, jubah graduan lama mengikut peringkat pengajian merangkumi Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD), lapel mengikut fakulti, Tengkolok Hulubalang, serta folder sijil.
Koleksi berkenaan akan menjadi sebahagian daripada koleksi pameran di Muzium Warisan Universiti yang bakal dibuka, sekali gus membolehkan bahan-bahan berkaitan sejarah, tradisi dan perkembangan akademik UTM dipelihara serta diketengahkan kepada warga universiti dan generasi akan datang. Pameran koleksi ini juga diharapkan dapat memberikan gambaran mengenai evolusi pakaian, identiti fakulti serta kelengkapan yang digunakan dalam istiadat akademik UTM dari semasa ke semasa.


Penyerahan koleksi ini bukan sekadar melibatkan pemindahan bahan fizikal, malah merupakan sebahagian daripada usaha mendokumentasi, memelihara dan mengetengahkan warisan serta memori institusi UTM. Koleksi seperti jubah akademik, lapel fakulti, Tengkolok Hulubalang dan kelengkapan berkaitan istiadat akademik mempunyai nilai dalam menceritakan perkembangan universiti serta perubahan tradisi akademiknya sepanjang zaman.

Penganjuran program seumpama ini turut membuka ruang interaksi dan perkongsian antara Jabatan Perpustakaan dan Jabatan Pendaftar, khususnya berkaitan peranan arkib dan pusat rekod dalam menyokong pengurusan maklumat institusi. Program ini juga dapat meningkatkan kefahaman mengenai kepentingan pengurusan, pemeliharaan dan penyimpanan rekod serta bahan bernilai sejarah sebagai sebahagian daripada usaha memelihara memori institusi universiti untuk rujukan generasi akan datang.

Lawatan yang bermula pada jam 3.30 petang berakhir sekitar jam 5.30 petang.