Satu Siri Khas Perkogsian Ilmu bersama Akademi Zakat-PPZ MAIWP oleh Ustaz Muhamad Ismail Bin Abdullah, Pensyarah, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dengan tajuk Qadha Zakat : Hukum dan Asas Kaedah Kiraan telah diadakan secara langsung dari Facebook UTM Library Kuala  Lumpur dan Youtube UTM Library TV pada 26 Oktober 2021 (Rabu).

Melalui perkongsian ilmu, penonton telah didedahkan dengan informasi mengenai ibadah qadha zakat. Qadha zakat adalah wajib untuk ditunaikan bagi orang yang hidup dan wajib disempurnakan oleh waris bagi pihak si mati. Selain itu, terdapat empat (4) keadaan seseorang individu tersebut yang wajib dikenakan qadha zakat iaitu samada individu itu cuai, uzur, lupa ataupun telah meninggal dunia. Justeru,  untuk mengelakkan diri kita daripada dikenakan qadha zakat, pelaksanaannya perlulah disegerakan dan elak dari bertangguh sehingga akhirnya ia akan membawa kita kepada empat (4) golongan  yang wajib qadha zakat itu.

Timbul persoalan seandainya waris si mati enggan mengeluarkan qadha zakat bagi pihaknya, panel telah menjelaskan bahawa sama ada setuju atau tidak, pihak waris tidak mempunyai sebarang kuasa dalam menentukan perkara tersebut kerana harta tersebut bukanlah milik waris. Natijahnya, keengganan waris untuk menyempurnakan qadha zakat akan menyebabkan waris menanggung dosa akibat daripada menahan harta si mati dari dikenakan qadha zakat. Panel juga menerangkan bahawa sekiranya pihak waris menghadapi masalah dalam menyelesaikan qadha zakat tersebut secara keseluruhan atau ‘lump sum’, pihak waris boleh berhubung dengan pegawai di pusat zakat berhampiran untuk berunding dan membuat pembayaran secara ansuran.

Di samping itu, pusat zakat juga menyediakan khidmat pengiraan kadar bayaran untuk qadha zakat di mana mereka akan membantu untuk memastikan bahawa urusan pembayaran berjalan dengan lancar dan teratur.

Akhir sekali, pihak Perpustakaan UTM Kuala Lumpur berharap agar perkongsian ini memberi manfaat kepada semua penonton dan ilmunya dapat disebarkan kepada yang lain agar ibadah ini dapat dilakukan sebaik-baiknya seperti yang telah diperintahkan oleh Allah S.W.T.

Share this :