Taklimat Pengisian Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT) 2022, telah diadakan pada 14 Disember 2022 secara atas talian melalui medium webex, dari jam 3.00 – 4.00 petang. Panel bagi Taklimat Pengisian LNPT 2022 ini merupakan Penolong Pendaftar Kanan, Puan Masnizah binti Osman, Jabatan Perpustakaan UTM. Perpustakaan UTM turut menjemput Timbalan Pendaftar dari Bahagian Sumber Manusia, Jabatan Pendaftar iaitu Encik Ganesan a/l Andimuthu.
Taklimat Pengisian LNPT 2022 ini melibatkan kesemua staf Jabatan Perpustakaan UTM, bagi memberi panduan serta penerangan terperinci berkaitan pengisian LNPT dan sekaligus bagi memastikan pengisian maklumat dan penilaian berjalan lancar seperti yang dijadualkan.
Sistem penilaian prestasi bermaksud suatu sistem untuk merancang, melaksana, mengurus dan menilai pencapaian prestasi anggota dan matlamat organisasi dalam tempoh satu tahun. Objektif penilaian prestasi adalah untuk menilai staf bagi tujuan penghargaan ‘reward and sanction’ serta mengenalpasti kekuatan dan kelemahan bagi tujuan peningkatan prestasi.
Peraturan-peraturan pegawai awam Pelantikan, Kenaikan Pangkat dan Penamatan
Perkhidmatan (Pindaan P.U.(A) 176/2005), PERKARA 27 (4) P.U.(A) 1/2012 menyatakan bahawa Pergerakan Gaji Tahunan (PGT) seseorang pegawai hendaklah berasaskan pencapaian kerja tahunan pegawai itu atau apa-apa syarat lain yang ditentukan oleh Yang di-Pertuan Agong dari semasa ke semasa.
Empat (4) dimensi penilaian dibuat dalam LNPT iaitu Teras, Fungsian,Sumbangan dan Bonus. Staf diterangkan dengan wajaran markah LNPT dan tatacara pengisian mengikut kategori yang betul untuk disahkan oleh Pegawai Penilai Pertama (PPP) dan Pegawai Penilai Kedua (PPK).
Sasaran Kerja Tahunan atau Key Amal Indicator (KAI) adalah Perancangan tahunan di peringkat Organisasi / Agensi. Perancangan ini akan disusun dalam Rancangan tindakan kerja tahunan yang perlu dilaksanakan di peringkat Jabatan / Bahagian / Cawangan / Unit selaras dengan Perancangan Kerja Tahunan.
Aktiviti / Projek yang hendak dilaksanakan oleh pegawai bagi tahun yang dinilai perlu selaras dengan Perancangan Tahunan dan Perancangan Kerja Tahunan yang ditetapkan oleh Jabatan.
Petunjuk Prestasi pula adalah kuantiti, kualiti, masa dan kos atau kombinasi bagi setiap satu aktiviti / projek.
Kepentingan KAI / SKT adalah:
- Penilaian hasil
- Memberi gambaran Kerja Sebenar PYD
- Penilaian yang objektif, adil dan telus
- Performance contract
- Membantu mencapai visi dan misi organisasi dan jabatan
Selain SKT, staf juga diminta untuk memberi perhatian dalam lain-lain kriteria seperti penilaian 360 darjah (Penilaian dikalangan rakan PPR, subordinate PPS, PPP dan PPK), sumbangan dan aktiviti rasmi, dan maklumat dalam kriteria bonus iaitu peningkatan akademik, terlibat dalam badan profesional serta penulisan dan penerbitan.
Selain itu staf juga akan diberi markah 5% bagi kehadiran yang cemerlang dan 5% sekiranya mencapai 42 mata CPD (Continuing Professional Development) dalam latihan bagi tahun 2022.
PPP dan PPK juga dimaklumkan kategori pencapaian staf mengikut markah yang diberi iaitu :
90% – 100% Cemerlang
80% – 89.99% Baik
60% -79.99% Sederhana
50% – 59.99% Kurang Memuaskan
0% – 49.99% Lemah
Sekiranya staf memperolehi markah di bawah 60% iaitu prestasi kurang memuaskan dalam tahun penilaian, penilaian staf akan dibawa ke pelaksanaan Dasar Pemisah (Exit Policy)
Taklimat diakhiri dengan sesi soal jawab dan berakhir pada jam 4.30 petang.