Pada 21 Mac 2023 (Selasa), Kelab Keluarga Staf Perpustakaan UTM Kuala Lumpur (KKSPUTMKL) telah menganjurkan Majlis Ihya Ramadhan Perpustakaan UTMKL 1444H. Program yang diadakan di Bilik Mesyuarat Perpustakaan UTM Kuala Lumpur ini adalah sempena menyambut kedatangan bulan Ramadan yang bakal tiba tidak lama lagi.
Program dimulai dengan kata alu-aluan dari pengacara majlis iaitu En. Shaharudin Ali dan seterusnya bacaan doa oleh En. Mohamad Alif bin Mohamad Desa. Seterusnya, pengerusi majlis menjemput Timbalan Ketua Pustakawan, Pn. Nik Masriza Zakaria untuk memberi sepatah dua kata sebelum majlis dimulakan. Pn. Nik Masriza berkongsi nasihat serta peringatan dalam menghadapi bulan Ramadan ini. Beliau turut memberi kata-kata semangat agar semua staf tabah serta teguh dalam memberikan perkhidmatan serta menjalankan tugas yang diamanahkan meskipun dalam keadaan berpuasa.
Program diteruskan dengan Program BookTalk@Library untuk siri yang ke 7 ini. Untuk kali ini, dua staf yang menyampaikan perkongsian adalah Pn. Siti Aznur binti Mohd Salleh dan En. Mohamad Alif bin Mohamad Desa. Dimulakan oleh Pn. Siti Aznur yang berkongsi buku bertajuk 5 Langkah Mengekalkan Kesihatan & Kecantikan yang ditulis oleh Anjali Arora. Seterusnya, En. Mohamad Alif berkongsi buku berjudul Hikmah Berpuasa di Bulan Ramadhan yang ditulis oleh Dr. ‘Aid Abdullah Al-Qarni.
Majlis diteruskan lagi dengan kuiz trivia ramadhan yang diadakan dan seorang pemenang terpantas dicari dan akan diberikan hadiah. Pemenang bertuah untuk kuiz tersebut adalah Pn. Sharifah Radhiah binti Syed Azman yang menerima hadiah sumbangan KKSPUTMKL. Program ini diakhiri dengan sesi menjamu selera yang telah dihidangkan.
Selamat menyambut Ramadan al-Mubarak untuk semua umat Islam dari kami warga Perpustakaan UTM Kuala Lumpur.