Program BookSharing @UTMKL 2023/Siri 5 telah diadakan pada 10 Mei 2023 (Rabu). Sesi kali ini telah menampilkan dua orang pengulas iaitu Cik Nur Fanida Najwa binti Mukim, Penolong Pegawai Keselamatan dari Seksyen Keselamatan dan Cik Fatimah binti Mohd Radzi, Penolong Pegawai Tadbir dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan. Manakala moderator adalah Encik Zaidi bin Othman, Pustakawan Kanan dari Jabatan Perpustakaan UTM.

Pengulas pertama iaitu Cik Nur Fanida Najwa telah memilih sebuah buku yang bertajuk ‘Misi Bebas Hutang’ yang ditulis oleh Mohd Zulkifli Shafie. Menurut pengulas, bebas hutang berdasarkan buku ini bukan sesuatu yang mudah untuk dicapai tetapi tetap tidak mustahil dan yang penting adalah adanya ilmu berkaitan pengurusan hutang. Menurut beliau lagi, beban kewangan terbesar bagi kebanyakan rakyat Malaysia ialah ansuran pinjaman membeli kereta, pinjaman peribadi dan hutang membeli rumah kediaman. Sekiranya kita dapat bebas daripada hutang-hutang ini, kita akan bebas daripada bebanan kewangan terbesar.

Penulis buku ini turut berkongsi tentang kaedah penyimpanan wang yang boleh diikuti oleh para pembaca iaitu membuat pemotongan 10% daripada pendapatan setiap bulan ke akaun simpanan. Kemudian, buat simpanan di dalam akaun yang sukar untuk dilakukan pengeluaran seperti ASB atau Tabung Haji. Penulis turut menasihati para pembacanya untuk menyediakan dana kecemasan selain mengambil takaful atau insurans yang boleh dipercayai, merangka bajet bulanan, pemantauan perbelanjaan, tahu membezakan yang mana satu adalah  keperluan dan kehendak, meminimumkan perbelanjaan, dan menghindari hutang yang tidak perlu.

Perkongsian seterusnya oleh Cik Fatimah juga menarik iaitu sebuah novel berjudul Rahsia Perindu yang merupakan hasil karya oleh Ramlee Awang Murshid, seorang novelis yang tidak asing lagi dalam kalangan pembaca buku tempatan. Menurut pengulas, novel ini mengandungi kisah yang sarat dengan penceritaan dan informasi berkaitan bidang perundangan dan kedoktoran. Novel ini turut mengandungi unsur-unsur kejutan dan ‘plot twist’ yang mengujakan.

Novel ini mengisahkan Amylia sebagai peguam bela yang bersetuju membela seorang pelaku jenayah bernama Leopard yang bakal dijatuhi hukuman mati mandatori atas kesalahan membunuh. Setelah Amylia mengenali Leopard, Amylia mendapati Leopard mengalami masalah mental dan beliau memohon perintah mahkamah untuk mendapatkan khidmat pakar psikiatri bagi melakukan ujian psikoanalisis. Dr. Azlan sebagai pakar psikiatri telah menjalankan ujian terhadap masalah mental yang dihadapi oleh Leopard dan mendiagnosis Leopard mengalami Dissociative Identity Disorder (DID).

Penyakit DID ini merupakan kecelaruan personaliti di mana seseorang itu mempunyai lebih daripada satu personaliti dalam diri yang sangat berbeza antara satu sama lain. Sebelum mengakhiri sesi perkongsian, pengulas mencadangkan agar penonton membaca dan merasai sendiri persembahan fakta dan emosi yang disampaikan di dalam novel ini kerana novel ini hanya boleh dihayati dengan baik sekiranya para penonton sendiri dapat membacanya.

Share this :