Sesi Read & Relax Siri 8/2023 pada kali ini telah diadakan pada 22 Jun 2023 (Khamis) bertempat di Bilik Eksekutif, Perpustakaan Raja Zarith Sofiah dan disiarkan secara langsung di Facebook dan Youtube Perpustakaan UTM. Sesi kali ini telah menjemput dua (2) orang ahli panel iaitu Nor Syafiqah binti Kamsani, Pelajar Latihan Industri dari Universiti Teknologi Mara kampus Rembau dan Siti Nur Aisyah binti Baharudin, Pelajar Latihan Industri dari Universiti Teknologi Mara kampus Puncak Perdana. Manakala, moderator untuk sesi kali ini ialah saudari Nur Farah Natasha binti Zahari.
Sesi ini dimulakan dengan panel pengulas pertama iaitu saudari Nor Syafiqah binti Kamsaini dengan bukunya yang berjudul Hati Ke Hati hasil karya Iddin Ramli. Naskah ini merupakan karyanya yang sulung, ianya sarat dengan bait-bait ayat yang puitis dan semestinya dapat menjentik hati para pembaca yang cuba menelusuri isi kandungannya.
Iddin Ramli ingin mengingatkan kepada kita bahawa kesedihan dan kepayahan dalam kehidupan tidaklah diuji ke atas diri kita melainkan semata-mata untuk menyedarkan supaya tidak leka dengan dunia sahaja. Namun begitu, perkara yang paling utama ialah dengan tidak berputus asa dengan rahmat Tuhan.
Penulis turut menegur agar kita tidak terlalu memikirkan perkara yang kita mahu sehingga terlupa untuk menyempurnakan apa yang Tuhan mahu. Hal ini sering berpunca daripada diri kita yang terlampau menginginkan perkara yang kita belum dapat sehingga terlupa untuk mensyukuri nikmat pemberian Tuhan yang telah kita peroleh.
Buku yang kedua diulas oleh saudari Siti Nur Aisyah Baharudin berjudul Kembara Mahsyar. Buku ini merupakan hasil tulisan oleh Faris Zulkharnane. Buku yang amat menarik untuk dibaca ini ditulis dengan gaya bahasa seolah-olah ia sedang ‘bercakap’ dengan pembacanya.
Penulis membawa pembacanya melalui satu kembara kehidupan bermula dari alam roh sehinggalah kita ke destinasi terakhir sama ada syurga atau neraka. Setiap bab secara beransur-ansur cuba untuk menyedarkan kita bahawa realiti kehidupan kita di dunia ini ada sasarannya dan semestinya sasaran itu adalah syurga yang benar, manakala tempat yang perlu kita elakkan ialah neraka yang penuh penyiksaan.
Para pembaca yang menguliti buku ini akan mendapati bahawa setiap bab yang ditulis akan menggamit pembaca untuk meneruskan pembacaan dan penulisnya berjaya menimbulkan perasaan gerun pada kematian dan seterusnya menginsafi kehidupan yang sementara supaya kita tidak terus leka dan lalai dengan kesenangan dunia.