14 Februari 2024 (Rabu) – Perpustakaan Sultanah Zanariah UTM Kuala Lumpur (PSZKL) sinergi bersama Pusat Jaringan Komuniti & Industri (CCIN) telah menganjurkan Program K-Sharing bertajuk Pembinaan Jaringan Kerjasama: Mengukuhkan Kesinambungan Industri yang telah disampaikan oleh Dr Sabrinah Adam, Timbalan Pengarah CCIN. Program yang berlangsung selama dua (2) jam ini diadakan di Bilik Seminar 2, PSZKL. Program yang dijalankan secara fizikal ini merupakan program pertama di bawah Perkongsian Ilmu bagi tahun 2024.

Objektif perkongsian ini adalah memberi pendedahan maklumat mengenai hubungan kerjasama CCIN dengan pihak industri dan fungsi CCIN sebagai peranan utama untuk membantu fakulti dan Pusat Tanggungjawab (PTJ) untuk meraih AIM4STAR dan Star Rating (Penarafan Bintang). Dr. Sabrinah juga memaklumkan bahawa CCIN akan melancarkan satu (1) platform data jaringan industri (ICESys)  yang boleh diakses oleh semua pihak. Data ini akan digunakan bagi membantu fakulti untuk mengenalpasti potensi kerjasama dengan industri.

Selain daripada jaringan industri, CCIN juga bertanggungjawab untuk membantu fakulti bagi proses pembangunan makmal satelit, dana AIM4STAR dan juga program bersama komuniti (CSR). CCIN sebagai mediator yang akan membantu fakulti untuk mendapatkan elemen utama Quadruple Helix (Government, University, Community & Industry) bagi memenuhi keperluan AIM4STAR. Panel juga memaklumkan bahawa pada masa akan datang, elemen tambahan akan dimasukkan iaitu Environment dan akan menjadi Quintuple Helix.

Program ini mendapat sambutan yang positif dalam kalangan staf akademik dan juga staf pengurusan profesional dan pelaksana yang hadir. Sesi soal jawab di antara peserta dan penceramah juga sangat aktif dan banyak input yang telah diberikan oleh penceramah. Semoga sesi perkongsian ini dapat memberikan manfaat dan juga membuka ruang dan peluang yang baru bagi warga UTM untuk mengukuhkan jaringan bersama industri sama ada yang sedia ada atau yang baru.

Share this :