Trend penggunaan teknologi kecerdasan buatan atau lebih dikenali sebagai artificial intelligence (AI) di kalangan pelajar dalam konteks pembelajaran masa kini kian meruncing dan membimbangkan. Justeru itu, Jabatan Perpustakaan UTM (JPUTM) mengambil langkah proaktif dalam mendepani cabaran AI. Satu sesi perkongsian ilmu bersama Profesor Madya Ts. Dr. Nor Zairah Ab. Rahim, Pensyarah, Fakulti Teknologi dan Informatik Razak (FTIR) telah diadakan selama dua (2) hari pada 19 & 20 Februari 2024 bertempat di UTM Digital, Johor Bahru. Kursus ini melibatkan semua Pustakawan JPUTM dan tidak ketinggalan juga Pustakawan yang berada di Perpustakaan UTM Kuala Lumpur dan juga UTM kampus Pagoh. Kursus ini juga diadakan secara hybrid dengan menggunakan aplikasi Webex. Tujuan kursus ini diadakan adalah untuk melengkapkan Pustakawan JPUTM dengan pengetahuan dan kemahiran bagi membangunkan modul baharu Program Pendidikan Pengguna bagi penulisan akademik berfokus kepada penulisan tesis dan artikel jurnal dengan aplikasi AI. Kursus ini menekankan penggunaan AI yang beretika dan penguasaan alat AI yang dapat membantu menghasilkan penulisan akademik yang berimpak serta berkualiti tinggi dan mampu mengenal pasti sekaligus menghuraikan ucapan serta tulisan dengan tertib.
Profesor Madya Ts. Dr. Nor Zairah Ab. Rahim telah berkongsi beberapa model AI yang boleh digunakan dalam penulisan akademik khasnya dalam menyelesaikan tugasan untuk penulisan tesis. Terdapat beberapa tools AI selain daripada ChatGPT yang telah diperkenalkan kepada para pustakawan. Antaranya ialah Microsoft Copilot, Geogle Gemini (Bard), Scribe dan Bing. Selain itu, terdapat banyak jenis AI yang dipelajari yang berfokus kepada text, imej, tatabahasa dan paraphrase yang membolehkan pengguna AI mengembangkan idea asal.
Namun begitu, Profesor Madya Ts. Dr. Nor Zairah Ab. Rahim turut menekankan kepentingan penggunaan prompt yang tepat dalam menghasilkan literature review yang berkualiti. Selain itu, terdapat jugak AI tools yang memudahkan pencarian artikel yang berkaitan dengan topik yang kita mahukan. Antaranya ialah Elicit, Litmaps, Scite, Consensus dan SciSpace. Setiap AI tools ini mempunyai ciri-ciri istimewa mereka yang tersendiri.
Tidak dapat dinafikan lagi, memang penggunaan AI tools dapat membantu penyelidik dalam menghasilkan penulisan akademik. Namun begitu, ianya juga mempunyai limitasinya tersendiri. Antara cabaran dalam menggunakan AI tools ialah ianya boleh mengakibatkan penggunanya mengalami information overload dan dalam masa yang sama boleh membuatkan fokus pencarian tersasar. AI tools juga mengakibatkan isu plagiarism semakin berleluasa. Maka dengan itu, amatlah penting untuk menggunakan AI tools dengan cara yang betul dan beretika. Selain itu, terdapat juga AI tools yang boleh digunakan untuk menyemak peratus plagiarism antaranya ialah Turnitin, Originality AI Plagiarism & fast checker dan Undetectable AI. AI tools ini juga berkemampuan mengesan plagiarism yang bersumberkan AI.
Sesi kursus ini diakhiri dengan penghasilan penulisan akademik daripada Pustakawan JPUTM dengan menggunakan AI tools yang telah dikongsikan oleh Profesor Madya Ts. Dr. Nor Zairah Ab. Rahim. Semoga sesi perkongsian ini dapat dipanjangkan dan dimanfaatkan kepada mahasiswa UTM kelak sekaligus dapat menjadikan mahasiswa UTM berkebolehan serta berjaya dalam era digital.