Program Read & Relax Siri 17/2024 anjuran Jabatan Perpustakaan UTM Johor (JPUTM) dengan sinergi bersama Friends of UTM Library (FoLY) telah berlangsung pada 12 September 2024 secara atas talian dengan menampilkan panel pengulas yang juga terdiri daripada ahli FoLY iaitu Dr. Taiwo Austine Olusegun, Alumni UTM dan Ngu Yu Ling, pelajar dari Fakulti Komputeran, UTM Johor Bahru. Manakala moderator bagi sesi kali ini ialah Vikaash Harichandran, pelajar dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik, UTM Johor Bahru.
Panel pertama iaitu Dr. Taiwo Austine Olusegan telah memilih buku bertajuk The Rules of People yang ditulis oleh Richard Templar. Penulis buku ini memberi panduan mengenai kaedah berinteraksi dengan orang lain secara efektif, membina hubungan yang baik dan memahami perilaku manusia.
The Rules of People adalah panduan ringkas untuk memahami dan berinteraksi dengan orang lain secara efektif. Buku ini menyediakan 100 panduan praktikal yang merangkumi pelbagai aspek hubungan, seperti cara membina kepercayaan, berkomunikasi dengan lebih baik dan menangani konflik. Setiap panduan diilhamkan adalah hasil kajian Richard Templar terhadap tingkah laku manusia dan beliau turut memberikan nasihat yang mudah diikuti untuk memperbaiki cara kita berhubung dengan orang di sekeliling. Buku ini sesuai untuk sesiapa yang ingin meningkatkan kemahiran sosial mereka, sama ada dalam kehidupan peribadi atau profesional demi untuk mencapai hubungan yang lebih harmoni dan bermakna.
Panel kedua pula, Ngu Yu Ling memilih untuk mengulas buku berjudul Same as Ever: A Guide to What Never Changes oleh Morgan Housel. Penulis buku ini menekankan bahawa walaupun dunia terus berubah dengan pantas, terdapat prinsip dan tingkah laku manusia yang bersifat kekal sepanjang zaman. Menurut beliau, usaha meningkatkan kualiti kehidupan tidak semestinya memerlukan kita meredah laluan yang penuh dengan ketidaktentuan. Sebaliknya, dengan merenung kembali sejarah dan memahami perkara-perkara yang konsisten sepanjang masa, kita boleh meramalkan dan mempersiapkan diri untuk menghadapi ketidaktentuan yang mungkin berlaku, sekali gus membolehkan kita menangani cabaran masa depan dengan lebih baik.
Ia turut menggabungkan cerita-cerita dan pandangan-pandangan yang relevan tentang psikologi manusia, kewangan dan kehidupan untuk memberikan perspektif yang unik tentang bagaimana kita boleh mengatur kehidupan dengan lebih baik.