25 Februari 2025, Selasa – Jabatan Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia (JPUTM) telah mengadakan Majlis Amanat Ketua Pustakawan bagi tahun 2025 dengan matlamat memperkukuh peranan perpustakaan sebagai pusat penyebaran ilmu yang dinamik dan responsif. Majlis ini diadakan secara hibrid dengan penyertaan staf secara fizikal di Dewan Senat Ainuddin Wahid, Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim, UTM Johor Bahru. Bagi staf Jabatan Perpustakaan UTM Kuala Lumpur dan Kampus Pagoh, mereka mengikuti sesi ini secara dalam talian melalui aplikasi Cisco Webex. Manakala staf dari jabatan lain turut berpeluang mengikuti amanat menerusi siaran langsung di Facebook Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia.
Puan Nor Asikin binti Mohamad, Ketua Pustakawan menekankan peranan perpustakaan bukan sekadar tempat penyimpanan buku, tetapi juga sebagai hab ilmu yang berperanan penting dalam ekosistem pendidikan tinggi. Dengan aspirasi enVision UTM 2025, perpustakaan akan terus berkembang sebagai pusat ilmu yang relevan dan inovatif.
Dalam amanatnya, Ketua Pustakawan menyoroti pencapaian JPUTM sepanjang tahun 2024, termasuk kejayaan dalam pelaksanaan Key High-Impact Results (KHIR) di peringkat universiti dan Key Amal Indicators (KAI) di peringkat jabatan. Antara pencapaian utama yang dibanggakan adalah kejayaan dalam memantapkan akses kepada maklumat ilmu pengetahuan institusi serta pelaksanaan inisiatif perpustakaan digital yang telah meningkatkan kepuasan pengguna, selain usaha yang dijalankan dalam memperkasa sistem penyelidikan terbuka dan pemuliharaan sumber pengetahuan.
Fokus Perpustakaan UTM bagi tahun 2025 berlandaskan lima (5) saranan Naib Canselor, iaitu UTM-IK, Akses Terbuka, Extended Library Services, Personalised Services, dan Open Science. Inisiatif ini bertujuan memperkukuh peranan perpustakaan sebagai pusat ilmu dengan meningkatkan akses kepada maklumat, memperluaskan perkhidmatan digital, menyediakan perkhidmatan diperibadikan serta menyokong keterbukaan dalam penyelidikan dan perkongsian data. Selain itu, UTM Library Kuala Lumpur – Window of Knowledge turut diberi penekanan sebagai pusat pengetahuan yang lebih luas, sejajar dengan aspirasi menjadikan Perpustakaan UTM lebih inovatif dan relevan dalam ekosistem akademik global.
Selain membincangkan hala tuju perpustakaan, sesi amanat ini turut menyentuh perkara berkaitan pengurusan sumber manusia termasuk kenaikan pangkat staf, pertukaran staf ke jabatan lain serta persaraan staf perpustakaan pada 2025. Beliau turut menekankan semangat kerjasama dan kerja berpasukan di kalangan staf perlu diterapkan dalam memantapkan kerja dan staf perlu mempunyai idea bersifat strategik untuk mencapai sasaran yang lebih mantap.
Majlis ini diakhiri dengan sesi interaksi antara Ketua Pustakawan dan staf perpustakaan, di mana pelbagai cadangan dan pandangan dikemukakan bagi memperkasakan lagi perkhidmatan perpustakaan di UTM.