11 Mac 2025 (Selasa) – Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur yang diwakili staf dari Unit Sirkulasi telah berbesar hati menerima jemputan bagi mengunjungi kediaman YBhg. Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang untuk menerima sumbangan berupa 200 lebih naskhah bahan bacaan. Bahan bacaan yang disumbangkan terdiri daripada pelbagai bidang ilmu seperti sains, teknologi, motivasi dan keagamaan.
YBhg. Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang merupakan tokoh akademik dan ilmuwan tersohor yang disegani dan sentiasa komited dalam usaha memupuk budaya membaca dan penyebaran ilmu. Beliau adalah mantan Naib Canselor UTM, juga merupakan seorang tokoh yang banyak memberi sumbangan dalam bidang pendidikan, pembangunan teknologi, dan inovasi.
Sumbangan ini merupakan satu inisiatif yang amat bermakna oleh pihak beliau dalam memperkayakan koleksi perpustakaan serta menyokong budaya ilmu dalam kalangan warga UTM khususnya dan masyarakat umumnya.
Di samping itu, sumbangan ini juga pastinya memberi impak yang besar kepada pelajar dan staf akademik di UTM Kuala Lumpur. Bahan-bahan bacaan yang disumbangkan ini akan dapat membantu meningkatkan pengetahuan serta menyokong proses pembelajaran dan penyelidikan yang dijalankan di universiti. Dalam dunia yang semakin berkembang pesat, terutama dalam bidang teknologi dan inovasi, bahan bacaan yang berkualiti amat penting untuk memastikan generasi teknokrat muda sentiasa berada di barisan hadapan dalam penguasaan ilmu pengetahuan.
Semoga sumbangan ini dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh warga UTM serta menjadi koleksi ilmu pengetahuan yang amat bernilai bagi pihak perpustakaan. Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada YBhg. Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang atas keprihatinan dan kesungguhan dalam menyokong pembudayaan ilmu.