Skudai, 23 April 2025 – Perpustakaan Raja Zarith Sofiah menyaksikan satu sesi wacana yang bermakna sempena meraikan pencapaian 100 hari pentadbiran Naib Canselor ke-8 UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry bin Mohd Rahim. Bertemakan “Imbasan Majlis Bersama Naib Canselor: 100 Hari Pentadbiran NC Ke-8, Melonjak Kecemerlangan Institusi”, program ini dianjurkan secara kolaboratif oleh Jabatan Perpustakaan UTM dan Pejabat Naib Canselor UTM. Program ini turut bersiaran secara langsung menerusi Facebook Perpustakaan UTM dan saluran YouTube rasmi, UTM Library TV.

Majlis dimulakan dengan penglibatan seluruh warga kampus dalam program Jom Membaca 10 Minit 2025, yang disambut serentak di seluruh negara pada setiap 23 April. Bertemakan “Nikmati Saat Ini”, inisiatif ini memperkukuh usaha membudayakan amalan membaca sebagai gaya hidup dan asas kepimpinan berilmu serta pembinaan masyarakat Madani.

Warga UTM menyertai ‘Jom Membaca 10 Minit 2025’ sebagai simbolik pembudayaan ilmu

Refleksi Terhadap Kepimpinan NC Ke-8

Sesi wacana diterajui oleh Dr Muhammad Abd Hadi Bunyamin sebagai moderator bersama tiga ahli panel iaitu Prof. Sr. Gs. Dr. Mazlan Hashim, Pengerusi, Majlis Profesor UTM,  Puan Hanifah Ahmad, Timbalan Pendaftar Kanan dan Saudara Muhammad Hazim Azatul Amery yang merupakan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar, UTM.


Wacana ini mengupas refleksi wibawa kepimpinan 100 hari Naib Canselor ke-8 melalui sudut pandang ahli akademik, pentadbir dan pelajar. Prof. Sr. Gs. Dr. Mazlan Hashim menzahirkan penghargaan terhadap kecekapan Naib Canselor dalam menangani isu akar umbi serta menggerakkan agenda transformasi digital, terutamanya dalam bidang kecerdasan buatan (AI). Beliau menyifatkan Prof. Dr. Mohd Shafry sebagai pemimpin yang proaktif dan berorientasikan tindakan. Puan Hanifah Ahmad pula menyorot pendekatan kepimpinan NC yang menjunjung tinggi nilai-nilai Islam. Menurut beliau, peribadi NC yang lembut tetapi tegas menjadikan budaya kerja lebih beretika dan berfokus. Beliau turut menekankan keberkesanan transformasi digital dalam sistem penyampaian perkhidmatan yang disambut baik oleh warga universiti.


Manakala, Saudara Muhammad Hazim Azatul Amery, mewakili suara mahasiswa, Naib Canselor memiliki pendekatan mesra pelajar (student-minded) yang memudahkan komunikasi dan penyelesaian isu yang melibatkan isu pembelajaran dan kebajikan pelajar. Pelbagai inisiatif seperti bantuan subsidi serta tumpuan kepada kebolehpasaran graduan membuktikan keprihatinan pentadbiran terhadap masa depan pelajar.

Menjengah Masa Hadapan: Harapan dan Aspirasi

Para panel turut berkongsi harapan terhadap masa depan UTM di bawah teraju kepimpinan baharu. Prof. Dr. Mazlan menekankan kepentingan memperkukuh reputasi akademik universiti untuk terus bersaing di peringkat global, khususnya dalam penarafan QS World University Rankings, yang memberi impak langsung terhadap persepsi serta keyakinan masyarakat awam terhadap kualiti pendidikan dan penyelidikan UTM. Ia turut mempengaruhi kecenderungan pelajar dan ibu bapa untuk memilih UTM berbanding universiti lain. Puan Hanifah menyuarakan aspirasi agar staf Pengurusan dan Profesional (PPP) terus diberi ruang  dan kepercayaan dalam perancangan strategik universiti. Beliau mengimpikan budaya pengurusan yang menyokong penyertaan PPP sebagai pemikir strategik, dan bukan sekadar pelaksana. Manakala Saudara Hazim berharap agar amalan keterbukaan Naib Canselor terhadap suara pelajar diteruskan demi menjamin pentadbiran yang inklusif, dinamik dan selari dengan harapan mahasiswa.


Dalam sesi diskusi, Prof. Ahmad Jusoh, Dekan Fakulti Pengurusan, berkongsi pandangan bahawa Naib Canselor  ke-8 bijak menelusuri isu universiti yang kompleks dan berjaya menyusun serta menyampaikan perkara tersebut dalam bentuk yang tersusun dan mudah difahami. Pendekatan ini telah membantu menjernihkan kekeliruan serta memperkukuh kefahaman dalam kalangan warga kampus.

Kehadiran Naib Canselor sekitar jam 3.45 petang, telah menyerikan lagi sesi wacana tersebut. Moderator turut menyifatkan keupayaan Naib Canselor dalam “connecting the dots” sebagai satu kelebihan strategik yang membentuk naratif kepimpinan yang holistik.


Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderahati kepada ahli panel dan moderator, serta sesi fotografi kenangan. Program yang berakhir pada jam 4.15 petang ini membawa pulang semangat baharu dan kebersamaan dalam kalangan warga UTM untuk terus menyumbang kepada kecemerlangan universiti.

 

Share this :