Sesi Read & Relax, Siri 15/2019 di Bangunan Perpustakaan Raja Zarith Sofiah (PRZS) telah dilaksanakan pada 5 Ogos 2019, Khamis di Ruang Foyer pada jam 11:00 pagi. Sesi ini menampilkan 3 orang pengulas iaitu Encik Mohd Zulaihi Zainudin, Encik Mohamad Admin Sadali dan Encik Iskandar Dzulkainain Dawi. Manakala moderator untuk Sesi Read & Relax pada kali ini ialah Puan Junaidah Abdullah, manakala rapportuer adalah Cik Siti Nor Hashidah Zakaria.
En. Mohd Zulaihi Zainudin mengulas mesej dari Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia
Pengulas pertama iaitu En. Mohd Zulaihi Zainudin berkongsi mesej dari Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia. Antara initipati yang dikongsi adalah tentang senario sebenar masalah anak-anak di sekolah dan tanggungjawab kita sebagai ibu bapa untuk memastikan pemantauan yang berterusan di rumah. Peribadi anak terbentuk daripada hasil didikan ibu bapa di rumah dan bukan hanya mengharapkan guru di sekolah. Peranan guru sangatlah terhad dan tidak mampu untuk fokus kepada semua pelajar secara peribadi. Personaliti anak-anak mungkin berbeza apabila berada di rumah dan di sekolah. Ibu bapa perlu bijak dan di dalam mengendalikan masalah anak-anak di sekolah Siasat, jangan cepat melatah dan terima dengan hati terbuka. Fahami tanggungjawab dan beri kepercayaan yang sewajarnya kepada golongan pendidik di dalam mendidik anak-anak. Jika anak ditegur dan dimarahi, itu tandanya guru sedang mendidiknya. Hormati keberkatan ilmu yang telah dicurahkan kepada anak-anak agar mantap akhlaknya, ilmunya dan seterusnya berjaya dalam kehidupan.
Pengulas kedua iaitu Encik Mohamad Admin Sadali memilih sebuah komik jepun bertajuk Space Brothers yang diterbitkan oleh Syarikat Shonen Jump. Mengisahkan tentang dua beradik iaitu Mutta dan Hibito yang pada suatu hari ternampak UFO yang sedang menuju ke bulan. Maka bermulalah impian mereka untuk menjadi angkasawan dan meneroka angkasa lepas. Pada tahun 2025, adiknya Hibito berjaya menjadi seorang angkasawan dan merupakan orang Jepun pertama ke bulan. Manakala Mutta gagal mengikuti jejak langkah adiknya untuk menjadi seorang angkasawan sehinggalah satu hari beliau dipecat oleh majikannya. Maka bermulalah misi beliau untuk mengejar impiannya dengan membuat permohonan ke JAXA (Japan Aerospace Exploration agency) sehinggalah beliau berjaya dihantar ke NASA (National aeuranatics and Space Administration) di Houston, Amerika syarikat. Komik ini mengajak pembaca untuk mengejar cita-cita dan jangan sekali-kali menyerah kalah. Kegagalan adalah pembuka jalan kepada kejayaan yang lebih besar.
Pengulas ketiga iaitu Encik Iskandar Dzulkainain Dawi mengulas buku bertajuk Panduan memancing ikan air tawar. Hobi memancing ikan di air tawar, samada di kolam, empangan atau di sungai semakin mendapat sambutan. Antara faktor yang dititik beratkan di dalam menentukan hasil tangkapan yang baik adalah teknik menggunakan joran, kemampuan mengenali sifat ikan, dan ketepatan memilih lokasi serta kualiti umpan yang digunakan. Buku ini boleh dijadikan panduan kepada para kaki pancing di luar sana.
Disediakan oleh Cik Siti Nor Hashidah Binti Zakaria.