Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2025 (PBAKL 2025) yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur telah berakhir dengan kenangan manis yang tidak akan dilupakan oleh para pencinta buku dan ilmu pengetahuan. Melihat ribuan buku yang tersusun di rak adalah keterujaan luar biasa. Sepanjang pesta tersebut berlangsung, terdapat juga beberapa program bual bicara yang melibatkan beberapa penerbit mahupun organisasi besar bersiaran secara langsung di pesta tersebut. Salah satu daripadanya ialah Program Bicara Karya oleh Perpustakaan UTM dengan sinergi bersama Penerbit UTM Press. Ia diadakan di reruai Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM) di bawah slot Republika Merah yang turut diisi dengan program bual bicara oleh penerbit dari universiti awam lain.
Program Bicara Karya ini menampilkan seorang ahli panel yang cukup dikenali dalam kalangan warga IPT khususnya UTM sendiri iaitu mantan Naib Canselor UTM, Datuk Ir. Dr. Wahid Omar yang membicarakan buku tulisannya sendiri yang bertajuk Memoir Wahid Omar: 40 Tahun UTM RImbun Bernaung. Manakala moderator bagi program ini ialah Puan Khairulbahiyah Yaakub, Timbalan Ketua Pustakawan Perpustakaan UTM.
Memoir Wahid Omar 40 Tahun UTM Rimbun Bernaung merupakan karya mengenai kisah hidup Datuk Ir. Dr. Wahid Omar yang diinspirasikan daripada 40 hantaran di Facebook beliau selama 40 hari sebelum beliau bersara. Buku ini bukan sekadar catatan kisah peribadi, namun turut boleh dijadikan sumber inspirasi kepada warga akademik dan juga generasi masa kini serta akan datang dalam meneruskan kecemerlangan pendidikan tinggi negara.
Menjawab pertanyaan moderator mengenai perkara yang mendorong beliau mendokumentasikan penulisan ini dalam bentuk memoir, Datuk Wahid Omar berkongsi bahawa segalanya bermula apabila beliau menghadiri seminar penulisan kisah hidup di UTM. Dalam seminar tersebut, peserta diberikan idea dan panduan untuk menulis kisah kehidupan masing-masing. Secara kebetulan, ketika itu beliau hanya berbaki 40 hari sebelum bersara. Dari situlah tercetusnya ilham untuk menghasilkan satu siri hantaran di Facebook, satu hantaran setiap hari selama 40 hari yang merangkumi pengalaman beliau sepanjang 40 tahun berkhidmat di UTM.
Menurut beliau lagi, buku ini bukanlah mengenai gagasan pengajian tinggi yang pernah diterajui beliau, sebaliknya lebih menumpukan kepada perjalanan hidup beliau seputar dunia akademik yang bermula sebagai mahasiswa di UTM sebelum tamat pengajian dengan cemerlang dan berjaya memasuki lapangan akademik sebagai seorang pensyarah sebelum diberi kepercayaan untuk menerajui UTM sebagai Naib Canselor dan akhirnya menamatkan kerjaya di UTM. Justeru, penulisan ini lebih bersifat motivasi hidup dan sesuai dibaca oleh pelbagai lapisan masyarakat. Selain itu, buku ini juga boleh menarik minat pembaca yang berminat dengan aspek kepimpinan dalam pengajian tinggi serta cabaran di sebalik tabir yang dihadapi oleh seseorang dalam menguruskan pentadbiran universiti.
Ketika ditanya mengenai perubahan yang berlaku sepanjang 40 tahun beliau di UTM, beliau turut berkongsi tentang cabaran terbesar yang dihadapi serta bagaimana ia membentuk gaya kepimpinan beliau. Menurutnya, arwah ibu beliau menjadi faktor dan sangat mendorong beliau dalam membina kerjaya di UTM. Beliau banyak belajar daripada pengalaman hidup serta melalui pembacaan buku-buku yang memberikan pemahaman lebih jelas tentang pelbagai gaya kepimpinan. Cabaran terbesar yang dihadapinya adalah dalam menguruskan manusia dan membina pasukan yang berkesan, khususnya ketika mengendalikan perkara-perkara besar dan kompleks. Sepertimana yang kita sedia maklum, mengepalai pentadbiran sebuah universiti bukan mudah. Pertimbangan bersifat manusiawi, politik malah kontroversi sentiasa melingkari pentadbir utama universiti dan hal tersebut perlulah ditangani dengan bijak, tenang dan rasional.
Mengakhiri perkongsiannya, beliau menasihati para pemimpin muda agar sentiasa mengingati bahawa tanggungjawab yang dipikul adalah satu amanah, sesuatu yang diminta untuk dilaksanakan dan akan dipertanggungjawabkan, bukan sahaja di dunia, tetapi juga di akhirat. Beliau turut menegaskan prinsip kepimpinannya: integriti adalah asas kepada kredibiliti, iaitu mencerminkan keupayaan sebenar seseorang dalam memikul amanah dan tanggungjawab dengan jujur dan berkesan.