KUALA LUMPUR, 1 Julai 2025 – Program Imbasan Majlis Bersama Naib Canselor (MBNC) telah diadakan di Perpustakaan UTM Kuala Lumpur sebagai lanjutan kepada penyampaian amanat Naib Canselor pada sesi pagi. Bertemakan “Membudaya Ilmu, Memacu Optimasi”, sesi ini menjadi wadah wacana strategik dalam menilai semula budaya ilmu, tadbir urus, dan arah tuju universiti dalam mendepani cabaran masa kini. Program ini menjadi medan wacana terbuka yang memberi ruang kepada warga kampus untuk mengupas beberapa isu utama yang telah diketengahkan dalam amanat tersebut, khususnya berkaitan budaya ilmu, tatakelola, dan peranan universiti dalam mendepani cabaran semasa.
Tiga tokoh panel telah berkongsi pandangan yang terbuka, segar dan bermakna iaitu Prof. Madya Dr. Mazlan Ali, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Prof. Madya Dr. Abdul Rashid Husain, Penolong Naib Canselor Pejabat Strategi dan Kesohoran Global UTM , dan Prof. Madya Dr. Muhammad Fathi Yusof, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan bersama moderator Dr. Muhammad Ikhwan Azlan.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Menjalankan Fungsi Ketua Pustakawan, Puan Zaleha Atan dan juga Yang Menjalankan Fungsi Ketua Kampus UTM KL, Prof. Dr. Shamsul Sahibuddin yang turut memberikan pandangan beliau di akhir program.
Beberapa isu telah dikupas oleh panel berdasarkan soalan moderator. Dr. Mazlan Ali menyentuh cabaran budaya ilmu dalam kalangan mahasiswa yang dilihat semakin cenderung kepada pembelajaran ringkas dan segera tanpa penghayatan mendalam. Beliau juga menjelaskan fenomena “instant gratification” dalam kalangan pelajar yang menyebabkan kelemahan dalam kemahiran membaca dan berfikir kritis.
Prof. Madya Dr. Abdul Rashid Husain pula mengulas isu birokrasi yang melambatkan urusan dalam organisasi. Beliau memetik istilah “lemak-lemak organisasi” daripada amanat NC, dan menyeru agar amalan kerja yang lebih cekap dan berasaskan kepercayaan dapat diterapkan bagi meningkatkan kecekapan penyampaian.
Sementara itu, Prof. Madya Dr. Muhammad Fathi Yusof membincangkan kepentingan memartabatkan ilmu sebagai satu amanah. Beliau menjelaskan peranan fardu ain dan fardu kifayah dalam konteks universiti, menekankan bahawa ilmu tidak boleh dipisahkan daripada nilai agama dan akhlak.
Dalam sesi soal jawab, Ustaz Khairudin mengemukakan persoalan mengenai pengaruh hedonisme terhadap minat anak muda terhadap ilmu. Dr. Mazlan mengaitkan gejala tersebut dengan kegagalan sistem pendidikan menanam nilai ilmu secara mendalam. Dr. Abdul Rashid pula menegaskan bahawa hedonisme merupakan isu global, dan memberi contoh budaya keilmuan di MIT yang membentuk pelajar berdaya saing. Prof. Fathi Yusof menyarankan peranan kawalan sosial dan pendidikan nilai berteraskan agama bagi membimbing anak muda. Prof. Dr. Shamsul menutup sesi dengan menekankan bahawa isu ini perlu dilihat dalam kerangka struktur sosial yang lebih luas dan memerlukan pendekatan kolektif.
Program ini menjadi platform reflektif yang menyatukan pemikiran pelbagai lapisan warga UTM dalam menilai sistem sedia ada dan mencari ruang penambahbaikan. Wacana seperti ini bukan sahaja mengukuhkan budaya ilmu, tetapi juga memantapkan solidariti dalam membina masa depan universiti yang dinamik dan relevan.