Program Bicara Karya kali ini telah membawa para penonton menelusuri dan menghayati sebuah karya istimewa yang bertajuk “Upgrade Diri: Dari Hidup Biasa-biasa kepada Hidup Luar Biasa”. Program ini telah berlangsung pada 17 Julai 2025 (Khamis) bermula jam 2.30 petang yang bertempat di Event Space, Aras 2, Perpustakaan UTM Kuala Lumpur.

Sesi ini telah dikendalikan oleh moderator iaitu Puan Sharifah Radhiah Syed Azman dan panel jemputan istimewa iaitu Mejar (B) Dr. Prebagaran Jayaraman yang juga merupakan penulis buku ini.

Menurut panel, buku ini membawa kisah 12 orang pelajar yang telah dikumpulkan dan dibukukan berdasarkan modul pembangunan kendiri yang disusun mengikut tiga segmen utama:

a) kemahiran kepimpinan (leadership skills)

b) hubungan interpersonal (hubungan dengan orang lain), dan

c) pembelajaran sepanjang hayat yang lestari (sustainable lifelong learning).

Menariknya, kisah individu-individu yang terpilih untuk dimuatkan dalam buku ini adalah mereka yang selama ini dilihat sebagai ‘biasa-biasa’ sahaja oleh rakan dan pensyarah mereka, namun ternyata menyimpan potensi dan kekuatan luar biasa yang mungkin tidak disedari – bahkan oleh diri mereka sendiri.

Dr. Prebagaran memberi penekanan bahawa kelemahan pencapaian akademik seperti keputusan SPM yang tidak cemerlang tidak semestinya menghalang seseorang daripada menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Beliau telah memperkenalkan APEL.Q (Accreditation of Prior Experiential Learning for Qualification), satu modul penilaian pengalaman terdahulu yang membolehkan mereka dengan pengalaman kerja dan pembelajaran bukan formal diiktiraf untuk mendapatkan kelayakan seperti diploma atau ijazah. Melalui APEL.Q, program seperti Diploma Profesional dan rangkaian kursus seperti “Apel Q” membolehkan individu terus maju dalam pembelajaran tanpa laluan akademik tradisional.

Beliau dalam penerangannya turut menekankan bahawa dalam hidup ini, kita sebenarnya sentiasa mempunyai pilihan. Beliau berkongsi nasihat ringkas tetapi penuh makna yang menjadi kata kunci sepanjang program iaitu: “Kita bukan pokok. Kita ada pilihan. Jangan terperangkap. Buatlah pilihan yang mendatangkan kebaikan.” Beliau turut mengingatkan para peserta agar tidak terburu-buru mengejar dunia yang bergerak pantas. Sebaliknya, ambillah masa sendiri dan berhentilah seketika untuk menilai kembali arah dan perjalanan hidup masing-masing.

Program yang dijalankan secara fizikal ini turut disiarkan secara langsung melalui Facebook Live UTM Library Kuala Lumpur, dan mendapat sambutan menggalakkan daripada pelbagai lapisan warga universiti. Rata-rata peserta meluahkan rasa terinspirasi dengan pengisian yang bersifat jujur, dekat dengan realiti mahasiswa dan padat dengan nilai pembangunan diri yang tulen.

Artikel disunting oleh: Akmal Alif Amran, UTMJB

Share this :
UTM Open Day