JOHOR BAHRU, 18 Julai 2025 – Jabatan Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menerima kunjungan panel penilai daripada Majlis Akreditasi Teknologi Kejuruteraan (ETAC) pada hari Jumaat yang lalu. Lawatan ini merupakan sebahagian daripada Program Penilaian ETAC bagi Fasiliti dan Sokongan untuk lima (5) program Diploma Kejuruteraan yang bakal ditawarkan oleh UTM School of Professional and Continuing Education (UTM SPACE) di kampus Johor Bahru.
Panel penilai yang hadir, AP Ir. Dr. Noorazura Muhamad Bunnori, telah dibawa melawat ke sekitar Perpustakaan Raja Zarith Sofiah (PRZS), UTM untuk meninjau kemudahan, fasiliti fizikal dan perkhidmatan maklumat yang ditawarkan kepada pelajar dan pensyarah. Lawatan tersebut telah diiringi oleh tiga orang wakil staf perpustakaan, iaitu Puan Zafarina Dol, Puan Nor Shaliza Mohd Basarudin, dan Puan Tuan Syahirah Tuan Abdul Rahman. Beberapa pengawai pengiring daripada UTM SPACE turut sama menyertai sesi lawatan ini.
Sepanjang sesi lawatan, pihak perpustakaan telah berkongsi inisiatif-inisiatif sokongan akademik yang ditawarkan, termasuk kemudahan ruang pembelajaran, akses kepada sumber elektronik terkini, serta program literasi maklumat yang menyokong proses pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan.
Sebagai institusi yang berperanan penting dalam menyokong ekosistem pendidikan tinggi, Jabatan Perpustakaan UTM komited untuk terus memperkukuh penyediaan kemudahan serta perkhidmatan maklumat selaras dengan keperluan semasa dan standard akreditasi nasional. Lawatan ini membuktikan peranan signifikan perpustakaan dalam menyokong kelestarian akademik dan kualiti pendidikan di UTM secara menyeluruh.