17 Julai 2025 (KHAMIS) – Program Read & Relax Siri ke-2 sekali lagi menemui pengikut setianya melalui siaran langsung di Facebook Perpustakaan UTM dan Youtube UTM Library. Jabatan Perpustakaan UTM dengan sinergi bersama Dewan bahasa dan Pustakawa Wilayah Selatan pada kali ini telah menjemput dua orang panel pengulas iaitu Encik Mohd. Kasim Mahmud dan Encik Nazim Mohd. Subari Kedua-duanya adalah merupakan pesara guru yang aktif di dalam dunia penulisan dan perbukuan. Manakala moderator bagi sesi kali ini ialah Cik Sera Afiqah Muhamad Yahya yang merupakan pelatih industri dari Universiti Utara Malaysia (UUM)
Encik Mohd Kasim Mahmud telah memilih untuk mengulas bukunya sendiri yang berjudul Bara Sengketa, sebuah novel sejarah yang mengangkat kisah perjuangan dan konflik dalam era silam. Ulasan beliau menekankan elemen pengorbanan, keberanian, dan nilai jati diri bangsa yang wajar dijadikan teladan generasi kini. Sebuah novel sejarah yang mengisahkan pertentangan dua kuasa dalam merebut pengaruh dan tanah air. Di tengah-tengah sengketa, muncul wira yang sanggup mempertaruhkan nyawa demi kebenaran dan kemerdekaan. Kisah ini menyuntik semangat nasionalisme dan menampilkan nilai kepimpinan, kesetiaan serta kecekalan.
Panel kedua, Encik Nazim Mohd. Subari pula memilih sebuah buku bertajuk Wangian Cinta Buat Pertiwi yang merupakan kumpulan puisi ciptaannya sendiri. Kumpulan puisi ini adalah sebuah karya bercorak patriotik dan bersulam nilai kemanusiaan. Penulis berjaya menyemarakkan semangat kecintaan kepada tanah air melalui pemilihan diksi yang jelas dan mudah difahami. Struktur rangkapnya tidak seragam; kebanyakannya panjang dan berbentuk prosa sajak. Walaupun tidak sarat dengan metafora atau simbolisme yang kompleks, keindahan bahasa tetap menyerlah dan mesej yang ingin disampaikan sampai dengan berkesan sesuai dengan tajuk dan intipatinya.
Kedua-dua panel memberikan pandangan yang mendalam dan membuka ruang refleksi kepada penonton agar terus menghargai karya-karya tempatan yang menyuntik nilai murni dan semangat kebangsaan. Program berakhir dengan sesi soal jawab interaktif bersama penonton secara langsung. Sambutan yang diterima amat memberangsangkan, menunjukkan minat tinggi masyarakat terhadap pengisian ilmu berbentuk santai tetapi bermakna.