7 Ogos 2025 – Bangunan Perpustakaan Raja Zarith Sofiah (PRZS), Jabatan Perpustakaan UTM telah menerima kunjungan lawatan semakan kemudahan untuk orang kelainan upaya (OKU) dan berkeperluan khas daripada Pendaftar UTM, YBhg. Dato’ Dr. Mohd Sharil bin Abdullah, yang diiringi oleh Timbalan Ketua Pustakawan (Automasi dan Multimedia), Puan Zaleha binti Atan.

Lawatan ini sejajar dengan komitmen pihak universiti dalam memastikan akses dan kemudahan yang inklusif sentiasa menjadi keutamaan, seiring dengan usaha membentuk persekitaran pembelajaran yang mesra kepada semua golongan pengguna.

Turut hadir dalam lawatan ini ialah Timbalan Ketua Pustakawan (Perancangan dan Pembangunan), Encik Md. Razib bin Karno; Ketua Seksyen Automasi, Encik Yusrul Hisham bin Mohd Yusof; Penolong Jurutera PRZS, Puan Nurhazirah binti Mustaffa; Pengarah Bahagian Keselamatan; serta wakil delegasi daripada Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) dan Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni).

Hasil lawatan tersebut, cadangan penambahbaikan telah dikemukakan bagi menjadikan bangunan PRZS lebih mesra kepada golongan OKU dan berkeperluan khas. Antaranya termasuk penyediaan lot parkir khas, pembinaan ramp dan pintu khas di laluan ke tandas, serta naik taraf ruang surau agar mudah diakses oleh semua golongan pengguna.

Selain itu, cadangan turut melibatkan bilik karel yang direka dengan ruang masuk lebih luas dan perabot boleh laras, serta pewujudan ruang khas yang dilengkapi dengan teknologi sokongan bagi individu yang mempunyai kekangan penglihatan atau pendengaran.

YBhg. Dato’ Pendaftar turut mencadangkan agar ruang courtyard dinaik taraf dan diperindahkan dengan penambahan elemen air untuk mewujudkan suasana yang lebih kondusif dan menarik.

Lawatan selama satu jam yang bermula pada jam 8.15 pagi telah berjaya mencapai tujuan utamanya, iaitu untuk menilai tahap kemudahan sedia ada serta mengenal pasti penambahbaikan yang diperlukan bagi menyokong kebajikan, keselesaan dan kesaksamaan akses bagi pengguna OKU dan individu berkeperluan khas di UTM.

Author : Nurhazirah Mustaffa

Share this :