Pada 1 Disember 2025 (Isnin), telah berlangsung Program Knowledge Sharing Read to Heal: Terapi Pembacaan dan Koleksi Buku Sepanjang Perjuangan Kanser yang menggabungkan dunia pembacaan dengan perjalanan penyembuhan diri. Program ini telah disiarkan secara langsung menerusi Facebook UTM Library Kuala Lumpur dan berlangsung selama satu jam.
Program tersebut berjaya menarik perhatian ramai penonton dengan perkongsian menyentuh hati mengenai peranan membaca sebagai bukan sekadar hobi, malah sebagai peneman setia, sumber ketenangan serta kekuatan dalam menghadapi cabaran kehidupan.

Sesi perkongsian ini menampilkan penceramah jemputan, Dr. Rahayu Tasnim, Pensyarah di Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT), UTM Kuala Lumpur, yang merupakan penghidap kanser darah Multiple Myeloma sejak September tahun lalu. Beliau juga merupakan pengasas Projek Life Aquatic serta seorang jurulatih renang, penyelam skuba dan penyelam bebas yang masih aktif berkongsi kepakaran mengikut kemampuan.

Dikenali sebagai seorang pembaca tegar, Dr. Rahayu telah menenangkan diri dan mengisi kekuatan sepanjang tempoh rawatan melalui pembacaan lebih 40 buah buku. Perkongsian pengalaman peribadi beliau telah memberikan inspirasi kepada para penonton tentang peranan bahan bacaan sebagai sumber semangat, ketenangan dan kekuatan dalam menghadapi ujian ini.
Pada permulaan program, Dr. Rahayu berkongsi pengalaman peribadi tentang bagaimana beliau mula mengaitkan aktiviti pembacaan dengan makna sebenar konsep “heal through reading”. Perjalanan ini bermula ketika beliau terlantar di hospital selama sebulan untuk menjalani pelbagai ujian sebelum disahkan menghidap kanser darah, Multiple Myeloma. Dalam suasana keterbatasan pergerakan dan perubahan rutin harian, aktiviti membaca menjadi sumber ketenangan serta kekuatan dalaman buat beliau.

Antara lebih 40 buah buku yang dibaca, Dr. Rahayu berkongsi bahawa sebaik disahkan menghidap kanser darah tahap akhir, beliau memilih untuk tidak berputus asa, sebaliknya mendalami penyakit Multiple Myeloma melalui pembacaan, termasuk buku pertama berkaitan myeloma. Beliau turut membaca buku-buku kerohanian seperti The Forty Hadith of Imam Nawawi dan Women and Gender in the Quran, selain menggemari novel klasik karya Agatha Christie. Antara buku yang paling dekat di hati ialah Fiqh Bencana Alam yang bersifat praktikal dan relevan. Buku ini menghimpunkan panduan pelaksanaan ibadah, khususnya cara menunaikan solat dalam keadaan darurat dan bencana, agar ibadat dapat diteruskan dengan penuh tertib walaupun di tengah ujian. Namun, bahan bacaan yang sentiasa menjadi peneman harian beliau di hospital dan sumber kekuatan utama ialah Al-Quran Al-Karim serta The Study Quran yang disimpan dalam Kindle beliau.

Dr. Rahayu turut berkongsi bahawa setiap individu mempunyai cara tersendiri untuk mencari ketenangan, namun bagi beliau, salah satu bentuk healing adalah melalui pembacaan dan mengumpul buku. Dalam keadaan sakit, nikmat membaca dirasakan jauh lebih istimewa berbanding sebelum ini. Beliau turut merujuk satu bab dalam karya Imam al-Ghazali yang membincangkan tentang sabar dan konsep pain and pleasure, yang benar-benar beliau hayati sepanjang berada di hospital.
Istilah “unwell but fit” merupakan nasihat yang diberikan oleh doktor yang merawat Dr. Rahayu. Menurut doktor tersebut, “Puan memang sedang sakit, namun puan kelihatan cergas dan fit.” Kata-kata ringkas tetapi bermakna ini menjadi dorongan kuat buat Dr. Rahayu untuk terus mengekalkan kecergasan. Beliau memilih untuk kekal aktif melalui amalan pembacaan sebagai pengisian minda, serta melakukan aktiviti fizikal seperti berenang mengikut kemampuan. Semangat “unwell but fit” ini bukan sekadar nasihat kesihatan, malah menjadi motivasi harian untuk Dr Rahayu terus kuat, positif, dan berdaya tahan.

Sebagai saranan, Dr. Rahayu menggalakkan mereka yang sedang menghadapi ujian kesihatan agar meluangkan sekurang-kurangnya 30 minit hingga satu jam sehari untuk membaca sebagai usaha menenangkan minda dan menguatkan semangat. Pada masa yang sama, beliau turut berpesan kepada semua agar sentiasa peka dengan tahap kesihatan diri dan rajin mendapatkan saringan atau pemeriksaan kesihatan secara berkala. Menurut beliau, ada penyakit yang boleh hadir tanpa tanda awal dan berlaku secara tiba-tiba. Justeru, pemeriksaan awal bukan sahaja membantu pengesanan lebih cepat, malah memberi peluang rawatan yang lebih baik.
Di akhir perkongsian, Dr. Rahayu menyampaikan mesej bermakna tentang kuasa membaca dalam membina kekuatan diri. Beliau menggalakkan semua, khususnya mereka yang jarang membaca, agar memulakan langkah dengan memegang dan membaca sebuah buku, sambil berdoa kepada Tuhan agar diberi kekuatan untuk menghabiskannya. Menurut beliau, langkah kecil inilah yang boleh menjadi permulaan kepada perubahan besar dalam kehidupan.
