Pada 22 November 2025 (Sabtu), Institut Pembangunan Bioproduk (IBD), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Purnama Kasih Charity telah menganjurkan Program Khidmat Masyarakat bagi menyokong pembangunan sebuah Perpustakaan Mini di Rumah Perlindungan Qaseh Fitrah, Taman Dato’ Onn, Johor Bahru. Inisiatif ini bertujuan menyediakan akses kepada bahan bacaan berkualiti sebagai medium pembelajaran dan sokongan kesejahteraan kepada para penghuni rumah perlindungan tersebut.
Sehubungan itu, pihak penganjur telah memohon sumbangan bahan bacaan daripada Jabatan Perpustakaan UTM sebagai sebahagian daripada sokongan terhadap pelaksanaan program ini. Kategori bahan bacaan yang disumbangkan merangkumi buku bacaan umum, novel, motivasi, fiksyen, pembangunan diri serta bahan bacaan kanak-kanak yang bersesuaian dengan keperluan dan peringkat usia para penghuni.

Inisiatif ini menyasarkan pembentukan persekitaran pembelajaran yang kondusif kepada perkembangan sahsiah. Di samping itu, program ini turut berperanan memperkasakan budaya literasi dalam kalangan penghuni melalui pemupukan minat membaca, peningkatan kemahiran berbahasa serta pengukuhan nilai empati dan kefahaman sosial.
Sebagai sokongan terhadap pelaksanaan program ini, Jabatan Perpustakaan UTM telah menyumbangkan sebanyak 100 naskhah bahan bacaan kepada pihak penganjur. Sumbangan tersebut merupakan hasil kerjasama strategik antara Jabatan Perpustakaan UTM dan Persatuan Pustakawan Malaysia Kumpulan Selatan (PPMKS) dalam memperluas akses ilmu kepada komuniti yang memerlukan.

Diharapkan melalui akses berterusan kepada bahan bacaan yang berkualiti, inisiatif ini bukan sahaja dapat memupuk jati diri dan keyakinan diri dalam kalangan penghuni malah membuka peluang kepada mereka untuk terus berkembang dalam suasana pembelajaran yang positif, inklusif dan menyeluruh.