Program BookSharing @UTMKL 2026/Siri 2 telah berlangsung dengan jayanya pada 2 April 2026 (Khamis) di Perpustakaan UTM Kuala Lumpur. Program ini merupakan salah satu inisiatif perpustakaan dalam membudayakan amalan membaca serta menggalakkan perkongsian ilmu melalui bahan bacaan yang dipilih oleh para pengulas.
Bagi siri kali ini, sesi perkongsian menampilkan Encik Muhammad Al-Hakim bin Naziruddin, Guru Bahasa dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), sebagai pengulas jemputan. Program telah dikendalikan oleh Puan Norfamieza binti Mohamed Fayli, Pembantu Pustakawan, Perpustakaan UTM Kuala Lumpur selaku moderator.

Dalam sesi tersebut, Encik Muhammad Al-Hakim telah berkongsi buku pilihan beliau yang bertajuk Toyota VS Chinese EV hasil karya Takaki Nakanishi. Menurut beliau, pemilihan buku ini didorong oleh minat terhadap perkembangan semasa industri automotif, khususnya peningkatan penggunaan kenderaan elektrik (EV) yang kini semakin ketara bukan sahaja di Jepun, malah turut berlaku di Malaysia. Beliau tertarik untuk memahami dengan lebih mendalam pendekatan syarikat-syarikat Jepun dalam membangunkan EV, memandangkan pasaran semasa dilihat banyak didominasi oleh syarikat dari China.
Beliau turut menjelaskan bahawa penulis buku tersebut menghuraikan faktor kejayaan syarikat China dalam mengembangkan pasaran EV dengan begitu pesat, walaupun Jepun sebenarnya telah lama terlibat dalam pembangunan teknologi kenderaan elektrik. Perbincangan dalam buku ini memberi tumpuan kepada bagaimana syarikat seperti Toyota mula menyedari cabaran baharu dalam industri automotif, khususnya apabila perkembangan teknologi EV dari China semakin pesat dan jauh ke hadapan, terutamanya melalui pendekatan Software-Defined Vehicle (SDV).
Menurut pengulas, antara perkara menarik yang diketengahkan dalam buku ini ialah perubahan strategi Toyota yang pada awalnya memberi tumpuan kepada pembangunan Battery Electric Vehicle (BEV) secara tersendiri, namun kemudiannya mula mengambil pendekatan lebih terbuka dengan mempelajari dan menyesuaikan kepakaran syarikat China dalam pembangunan EV. Situasi ini menunjukkan bahawa industri automotif kini tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada aspek perkakasan (hardware), sebaliknya semakin dipacu oleh perisian, sistem pintar dan integrasi teknologi moden.

Selain itu, sesi perkongsian ini turut membuka ruang kepada peserta untuk melihat bagaimana perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI) dijangka akan terus mengubah landskap dunia automotif. Pengulas berpendapat bahawa gabungan antara EV, SDV dan AI bakal menjadi pemacu utama kepada revolusi automotif generasi akan datang. Perubahan ini menuntut masyarakat untuk lebih bersedia menerima hakikat bahawa kenderaan masa depan bukan lagi sekadar dinilai dari sudut mekanikal, tetapi juga dari segi keupayaan teknologi digital dan perisian.
Sebagai rumusan, pembangunan EV generasi akan datang banyak dipacu oleh konsep Software-Defined Vehicle (SDV) dan teknologi AI, yang menjadi faktor utama kejayaan revolusi EV khususnya di China. Walaupun begitu, Toyota masih yakin dengan kedudukan pasarannya dan mengambil pendekatan untuk mempelajari perkembangan EV di China serta menggabungkan kepakaran tersebut dengan kekuatan sedia ada di Jepun bagi membangunkan EV yang lebih berdaya saing.