Pameran bersempena Hari Kemerdekaan Malaysia telah diadakan di Perpustakaan Sultanah Zanariah, Johor Bahru, bermula 16 Ogos 2019 sehingga 17 September 2019 yang bertemakan “National Architecture Malaysia: witness to Malaysian history”. Pameran senibina rumah tradisional yang dipamerkan merangkumi sejarah pembinaan bermula dari tahun 1890 sehingga 1942 dan merupakan hasil penyelidikan mahasiswa Fakulti Alam Bina dan Ukur, UTM yang kini dalam simpanan dan penyeliaan Pusat Kajian Alam Bina Dunia Melayu (KALAM), UTM.

Setiap model rumah yang dipamerkan mempunyai maklumat sejarah asal usul senibina yang tersendiri. Terdapat model rumah yang mempunyai ciri-ciri rumah dari negara China, Indonesia, Siam dan lain-lain berdasarkan asal-usul keturunan pemilik rumah tersebut. Terdapat juga senibina rumah yang dibina dengan mengambilkira feng shui atau kepercayaan masyarakat cina.

Seni bina rumah Melayu tradisional merupakan proses senibina yang rumit dan mempamerkan seni ukiran dengan rekaan yang sangat halus. Struktur rumah juga disesuaikan dengan keadaan tropika, contohnya rumah dibina dengan tiang di atas tanah bagi persediaan menghadapi banjir manakala rumah berbumbung agak tinggi bagi membolehkan pengudaraan yang baik dan menyejukkan rumah.

Uniknya Malaysia apabila senibinanya memaparkan warisan budaya yang pelbagai dan menggambarkan perpaduan. Rakyat berbangsa Melayu, Cina, India dan banyak lagi kumpulan etnik lain telah hidup bersama-sama di Malaysia secara harmoni sejak bergenerasi lamanya.

Disediakan oleh Puan Nor Aishah P.Mosar

 

Share this :