Pada 24 April 2026 (Jumaat) – Perpustakaan Raja Zarith Sofiah, Universiti Teknologi Malaysia telah menerima kunjungan lawatan daripada delegasi pelajar UTM International Kuala Lumpur yang melibatkan seramai 29 orang pelajar bersama empat orang pegawai pengiring. Lawatan yang berlangsung dari jam 4.00 petang hingga 5.30 petang ini bertujuan memberi pendedahan kepada delegasi mengenai kemudahan, perkhidmatan serta sumber rujukan yang disediakan di perpustakaan dalam menyokong keperluan akademik warga universiti.

Ketibaan delegasi di bangunan perpustakaan pada jam 4.00 petang telah disambut dengan sesi taklimat ringkas yang disampaikan oleh Encik Muhammad Hazim Yusof. Seterusnya, para peserta dibawa mengikuti sesi lawatan sekitar perpustakaan bermula jam 4.10 petang sehingga selesai.

Sepanjang sesi lawatan, para delegasi berpeluang meninjau pelbagai ruang dan fasiliti yang disediakan, termasuk ruang bacaan, bilik perbincangan serta kemudahan digital yang menyokong pembelajaran abad ke-21. Selain itu, mereka turut didedahkan kepada perkhidmatan perpustakaan yang menyokong aktiviti pembelajaran, penyelidikan dan pembangunan akademik di peringkat pengajian tinggi.

Lawatan ini diharapkan dapat memperkukuh hubungan antara kampus serta meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelajar mengenai peranan penting perpustakaan sebagai pusat rujukan ilmu dan hab pembelajaran yang kondusif. Pihak perpustakaan juga komited untuk terus menyediakan perkhidmatan yang relevan dan berkualiti selaras dengan keperluan semasa warga universiti.