Pada 30 April 2026 (Khamis), Program BookSharing @UTMKL 2026/Siri 3 telah berlangsung dengan jayanya secara dalam talian. Sesi kali ini menampilkan dua orang pengulas jemputan, iaitu Encik Muhammad Nashry bin Hatbi, Penolong Pegawai Tadbir dari Pusat Islam dan Cik Nur Farisyah Izazi binti Fitri Zaquan Tan, Penolong Pendaftar dari Bahagian Pendaftar, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur.
Program ini dikendalikan oleh Puan Norfamieza binti Mohamed Fayli, Pembantu Pustakawan dari Perpustakaan UTM Kuala Lumpur, selaku moderator. Sesi dimulakan dengan ulasan oleh Encik Muhammad Nashry yang memilih buku Zakat Ku Harap Berkatmu karya Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan.

Dalam ulasannya, beliau menjelaskan bahawa buku tersebut membincangkan zakat sebagai ibadah penting dalam Islam yang berperanan menyucikan harta serta membentuk masyarakat yang sejahtera. Zakat dihuraikan sebagai kewajipan ke atas harta yang mencukupi syarat, dan merupakan salah satu rukun Islam yang wajib ditunaikan oleh setiap Muslim yang berkemampuan.

Buku ini turut mengupas hikmah pelaksanaan zakat, antaranya memupuk sifat pemurah, mengeratkan hubungan persaudaraan, mengurangkan jurang sosial, membantu golongan memerlukan, serta membersihkan hati daripada sifat mazmumah.
Selain itu, penulis turut menerangkan secara terperinci rukun, syarat wajib, kategori zakat, golongan asnaf, serta kaedah pelaksanaan dan pengagihan zakat secara sistematik dan jelas. Secara keseluruhan, pengulas merumuskan bahawa zakat bukanlah satu beban, sebaliknya merupakan didikan Ilahi untuk membentuk keperibadian mulia serta menyedarkan manusia tentang keberkatan rezeki.

Sesi diteruskan dengan ulasan oleh Cik Nur Farisyah Izazi yang membincangkan buku 100 Amalan Nabi Dalam Sehari: Andai Rasulullah SAW Bersama Kita karya Ustaz Dr. Zaharuddin Abd Rahman. Buku ini merupakan panduan praktikal yang menghimpunkan 100 amalan harian Nabi Muhammad SAW untuk dijadikan contoh dalam kehidupan seharian.

Menurut pengulas, buku ini menyampaikan sunnah dengan pendekatan yang mudah difahami dan relevan dengan konteks semasa, termasuk aspek integriti, etika penggunaan media sosial dan keadilan sosial. Penekanan turut diberikan kepada pembentukan akhlak sebagai teras utama dalam mengamalkan sunnah.
Beliau merumuskan bahawa buku ini wajar dijadikan bahan bacaan oleh setiap Muslim yang ingin memperbaiki hubungan dengan Allah SWT serta sesama manusia. Di samping itu, buku ini sesuai dijadikan panduan amalan harian secara berperingkat dalam usaha membina kehidupan yang lebih diberkati berlandaskan sunnah Nabi Muhammad SAW.