Dalam usaha menyemarakkan semangat kelestarian alam sekitar dalam kalangan masyarakat, Program Forum Buku “40 Hadis Pelestarian Alam Sekitar” telah berjaya dilaksanakan hari ini di Event Space, Perpustakaan UTM Kuala Lumpur pada 6 Mei 2026.
Program berbentuk forum ilmiah ini menampilkan panel jemputan iaitu YBhg. Profesor Emeritus Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang, Pengerusi Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan mantan Naib Canselor UTM, bersama Ustaz Wan Ali Wan Jusoh, mantan pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UTM. Forum ini dikendalikan oleh moderator, Dr. Norhayati Abdullah, Profesor Madya dari Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT), UTM.

Perbincangan forum memberi fokus kepada penghayatan 40 hadis berkaitan pelestarian alam sekitar serta penerapan nilai-nilai Islam seperti Ekosofi Islam, maqasid syariah, konsep mizan (keseimbangan) dan tanggungjawab manusia sebagai khalifah dalam memelihara bumi.
Dalam sesi tersebut, Datuk Seri Zaini Ujang berkongsi inspirasi penghasilan buku ini yang bukan sahaja membincangkan isu alam sekitar, malah menekankan tanggungjawab manusia sebagai penjaga bumi. Menurut beliau, idea penulisan buku tersebut diilhamkan daripada pendekatan karya 40 Hadis oleh Imam Nawawi yang menghimpunkan hadis-hadis penting sebagai panduan kehidupan umat Islam. Idea tersebut mula tercetus ketika beliau bersama rakan penulis menunaikan ibadah haji pada tahun 2018. Pengalaman menyaksikan masalah kebersihan di Mina dan Arafah seperti pembuangan sampah merata-rata serta tandas yang tidak terjaga telah membuka ruang refleksi tentang pentingnya kebersihan sebagai sebahagian daripada iman dan ibadah.
Selain itu, panel turut membincangkan konsep Ekosofi Islam berbanding pendekatan Barat dan Jepun dalam menjaga alam sekitar. Datuk Seri Zaini menjelaskan bahawa negara Barat banyak menumpukan usaha pengurangan “jejak karbon”, manakala masyarakat Jepun dipengaruhi budaya disiplin, undang-undang dan konsep penambahbaikan berterusan (Kaizen). Bagi umat Islam pula, penjagaan alam perlu didasari prinsip Halalan Tayyiban, ihsan serta niat ibadah kerana Allah SWT.
Beliau turut menekankan amalan gaya hidup sihat dan penggunaan sumber secara berhemah, termasuk mengelakkan pembaziran air ketika berwuduk dan mandi. Menurut beliau, wuduk hanya memerlukan sekitar satu hingga dua liter air, manakala mandi memadai dilakukan dalam tempoh sekitar tiga minit.

Sementara itu, Ustaz Wan Ali Wan Jusoh menegaskan bahawa pemeliharaan alam sekitar sangat berkait rapat dengan Maqasid Syariah, khususnya dalam aspek penjagaan nyawa. Beliau memberi contoh bagaimana daun-daun yang gugur berfungsi menyeimbangkan karbon dioksida dan oksigen sebagai sebahagian daripada tadbir urus Allah SWT demi memastikan kelangsungan kehidupan manusia dan haiwan. Justeru, beliau menjelaskan bahawa amalan menanam pokok bukan sahaja memberi manfaat kepada alam sekitar, malah dianggap sebagai satu bentuk sedekah berterusan kerana membekalkan oksigen kepada makhluk lain.
Beliau turut menekankan kepentingan setiap individu memainkan peranan dalam menjaga kebersihan dan kelestarian alam, selari dengan mesej “anda adalah orang terakhir yang melihat sampah”, di mana kita patut terus menyelesaikannya sendiri tanpa menuding jari atau menunggu tukang cuci. Menurut beliau lagi, “ilmu yang tidak diamalkan hanya menjadi maklumat”, justeru kesedaran terhadap penjagaan alam perlu diterjemahkan melalui tindakan dan amalan harian.

Forum turut berlangsung secara interaktif apabila beberapa soalan dan pandangan diajukan oleh para peserta yang hadir berkaitan amalan kelestarian dalam kehidupan seharian, peranan masyarakat dalam menjaga alam sekitar serta pendekatan Islam dalam menangani isu pencemaran dan pembaziran sumber.
Selain forum, Perpustakaan UTM Kuala Lumpur turut mengadakan pameran berkaitan kelestarian alam sekitar dan Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals – SDG) bagi meningkatkan kesedaran warga kampus dan masyarakat tentang kepentingan pembangunan lestari.

Selepas tamat program, turut diadakan sesi tandatangan buku bersama penulis 40 Hadis Pelestarian Alam Sekitar. Buku tersebut dijual dengan kerjasama Unit Endowmen UTM, sekali gus memberi peluang kepada para peserta untuk mendapatkan naskah buku serta berinteraksi secara lebih dekat dengan penulis.
Program ini turut dialu-alukan oleh YBrs. Prof. Dr. Fauziah Sh. Ahmad, Ketua Kampus UTM Kuala Lumpur dan dihadiri oleh YBrs. Prof. Madya Dr. Mohd Al-Ikhsan Ghazali, Timbalan Pengarah Pusat Islam UTM Kuala Lumpur. Kehadiran para peserta jemputan daripada Maahad Tahfiz Dhiya Ul Islah (MTDI) serta wakil PPR Sri Semarak turut memeriahkan program dan mencerminkan sokongan masyarakat terhadap agenda kelestarian alam sekitar berteraskan nilai Islam.