Program Telaah The Anxious Generation: How The Great Rewiring of Childhood Is Causing An Epidemic of Mental Illness bagi siri 2 menampilkan Dato’ Dr. Mohd Sharil Abdullah, Pendaftar UTM dan Tuan Noor Amin Ahmad, Pengerusi Institut Terjemahan & Buku Malaysia sebagai panel telah diadakan pada 18 Mei 2026 di Perpustakaan Raja Zarith Sofiah. Program dimulakan dengan ucapan Tuan Sayed Munawar Sayed Mustar selaku moderator yang menekankan kepentingan budaya membaca dan usaha menjadikan program Telaah sebagai satu gerakan intelektual yang mampu menarik masyarakat mendekati buku. Moderator turut berkongsi beberapa inisiatif bersempena Pesta Buku Antarabangsa termasuk pertandingan ulasan buku bagi kategori sekolah rendah, sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi.

Dalam ucapan pembukaan, moderator menyatakan bahawa:
“Budaya membaca perlu dijadikan satu gerakan supaya masyarakat rasa seronok dan ‘lazat’ bergelumang dengan buku.”

Sesi diteruskan dengan pengenalan buku The Anxious Generation karya Jonathan Haidt yang merupakan seorang profesor dalam bidang psikologi sosial dari New York University. Buku ini mendapat perhatian meluas di peringkat antarabangsa kerana membincangkan fenomena peningkatan keresahan, tekanan emosi dan masalah kesihatan mental dalam kalangan generasi muda.

Dato’ Dr. Mohd Sharil Abdullah selaku panel pertama menghuraikan bahawa buku ini memberi fokus kepada perubahan daripada play-based childhood kepada phone-based childhood, iaitu perubahan gaya kehidupan kanak-kanak dan remaja akibat pengaruh telefon pintar dan media sosial. Menurut beliau, perubahan tersebut memberi kesan terhadap perkembangan emosi, hubungan sosial dan kesejahteraan mental generasi muda.

Beliau turut menjelaskan bahawa:
“Bertukar sahaja cara kita berfikir, akan bertukar gaya kehidupan kita.”

Selain itu, beliau menegaskan bahawa generasi muda hari ini semakin terdedah kepada tekanan emosi akibat budaya media sosial dan kebergantungan terhadap pengesahan sosial (social validation).

“Generasi yang membesar dengan phone-based childhood semakin rapuh dari segi emosi kerana terlalu memikirkan bagaimana orang lain melihat diri mereka.”

Panel turut membincangkan isu overprotective parenting yang menyebabkan kanak-kanak kurang peluang membina daya tahan emosi dan kemahiran sosial secara semula jadi. Dalam konteks tersebut, beliau menyatakan bahawa:

“Anak-anak bukan hanya perlu dilindungi, tetapi juga perlu diberikan ruang untuk membina daya tahan emosi dan kemahiran sosial.”

Perbincangan turut menyentuh mengenai penggunaan permainan video (video games) dalam kalangan kanak-kanak dan remaja. Berdasarkan kajian yang dihuraikan dalam buku tersebut, permainan video secara terkawal boleh membantu meningkatkan fungsi kognitif, kemahiran menyelesaikan masalah dan kerja berpasukan. Namun begitu, penggunaan secara berlebihan boleh memberi kesan negatif terhadap perkembangan sosial dan emosi.

Dato’ Dr. Mohd Sharil turut menekankan bahawa:
“Teknologi tidak semestinya membawa keburukan, tetapi keseimbangan dalam penggunaannya sangat penting.”

Sesi diteruskan dengan perkongsian oleh Tuan Noor Amin Ahmad yang menghuraikan kandungan buku secara lebih terperinci melalui pembentangan slaid. Beliau menjelaskan bahawa buku ini memfokuskan kepada Generasi Z yang lahir selepas tahun 1995 dan mengalami perubahan besar dalam cara mereka membesar dan berinteraksi dengan dunia.

Beliau turut menyatakan bahawa:

“The Anxious Generation menceritakan bagaimana perubahan cara membesar generasi muda telah mengubah hubungan sosial dan kesejahteraan emosi mereka.”

Menurut beliau, kekuatan utama buku ini ialah penggunaan data penyelidikan dalam bidang psikologi sosial dan sains tingkah laku bagi menyokong hujah yang diketengahkan. Walau bagaimanapun, beliau turut menegaskan bahawa sebahagian dapatan buku tersebut lebih tertumpu kepada konteks masyarakat Barat dan perlu diteliti secara kritikal apabila diaplikasikan dalam konteks tempatan.

Program diakhiri dengan sesi interaksi bersama peserta yang membincangkan cabaran mendidik generasi muda dalam era digital, budaya membaca dan keseimbangan penggunaan teknologi dalam kehidupan seharian.

Perkongsian oleh panel jemputan telah memberikan input yang bernilai kepada peserta khususnya dalam memahami cabaran perkembangan emosi generasi muda pada masa kini. Program ini juga berjaya memperkukuh peranan universiti dan institusi buku sebagai medium penyebaran ilmu, pembangunan masyarakat berpengetahuan serta pemangkin kepada budaya intelektual.

Diharapkan agar program seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan dengan penglibatan yang lebih meluas daripada pelbagai lapisan masyarakat bagi memperkukuh budaya membaca, diskusi ilmiah dan pembangunan sahsiah masyarakat berteraskan ilmu.

Share this :
UTM Open Day