JOHOR BAHRU, 31 Julai 2026 – Jabatan Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia (JPUTM) telah menganjurkan Program Telaah Siri 6/2026 yang berlangsung di Dewan Bankuet, Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim, UTM Johor Bahru. Program yang menghimpunkan warga universiti ini telah menampilkan buku Perubahan Struktural Memacu Kecemerlangan Universiti hasil nukilan YBrs. Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry bin Mohd Rahim, Naib Canselor UTM. Sesi tersebut dikendalikan oleh Prof. Madya Dr. Muhammad Abd Hadi bin Bunyamin, Eksekutif Penyelidik, Pejabat Penerbit UTM Press.

Moderator memulakan sesi dengan menjelaskan bahawa Program Telaah merupakan inisiatif universiti yang berfungsi sebagai platform untuk mengetengahkan buah fikiran, pengalaman dan perspektif kepimpinan tertinggi UTM dalam memperkasa budaya ilmu serta kecemerlangan organisasi. Beliau turut memperkenalkan penulis buku, YBrs. Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry bin Mohd Rahim, yang pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) serta Pengarah Strategi dan Hal Ehwal Korporat secara serentak, sekali gus mencerminkan pengalaman luas beliau dalam merangka strategi pembangunan universiti. Pengalaman tersebut menjadi asas kepada penghasilan buku Perubahan Struktural Memacu Kecemerlangan Universiti, yang menghimpunkan pandangan dan pendekatan strategik dalam memacu transformasi institusi pengajian tinggi ke arah kecemerlangan bertaraf dunia.

Menjawab persoalan moderator mengenai pemilihan tema perubahan struktural, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry menjelaskan bahawa setiap usaha transformasi organisasi perlu dimulakan dengan meneliti struktur asas organisasi itu sendiri. Menurut beliau, buku tersebut menghuraikan bagaimana asas yang kukuh perlu dibangunkan bagi menggerakkan sesebuah institusi ke arah pencapaian matlamat yang lebih besar. Beliau menegaskan bahawa perubahan struktural melibatkan tiga komponen utama, iaitu perubahan minda, struktur organisasi dan struktur budaya yang perlu bergerak secara seiring bagi memastikan transformasi dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

Beliau turut menekankan bahawa aspek paling kritikal dalam proses transformasi ialah perubahan minda atau pemikiran. Menurut beliau, warga universiti khususnya mahasiswa perlu membentuk pemikiran bertaraf dunia yang selari dengan aspirasi UTM untuk menjadi universiti bertaraf global. Di samping itu, budaya kerja berprestasi tinggi perlu diperkasakan dengan memberi penekanan kepada pencapaian hasil, meningkatkan nilai profesionalisme serta meninggalkan amalan yang tidak memberikan nilai tambah kepada organisasi. Dari sudut struktur organisasi pula, beliau berpandangan bahawa proses kerja yang terlalu birokratik perlu direformasikan agar penyampaian perkhidmatan menjadi lebih pantas, cekap dan berkesan.

Dalam sesi tersebut, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry turut berkongsi formula ke arah merealisasikan aspirasi UTM untuk berada dalam kelompok 100 universiti terbaik dunia menjelang tahun 2030. Beliau menjelaskan bahawa strategi berkenaan telah dipetakan secara menyeluruh di dalam buku tersebut, termasuk panduan asas kepada fakulti untuk melaksanakan transformasi mengikut keperluan masing-masing. Menurut beliau, kecemerlangan di peringkat global hanya dapat dicapai sekiranya transformasi bermula di peringkat fakulti dan diterjemahkan secara konsisten di setiap lapisan organisasi. Beliau turut mengaitkan pendekatan tersebut dengan buku Rethinking Ourselves yang ditulis oleh Perdana Menteri Malaysia sebagai rujukan kepada usaha pembaharuan dan perubahan pemikiran negara. Selain itu, beliau menegaskan bahawa nilai adab merupakan kemuncak kepada keadilan dalam pembentukan organisasi yang cemerlang dan berintegriti.


Program diakhiri dengan sesi soal jawab yang turut menyentuh konsep kapal dan helang sebagai analogi kepada kepimpinan yang berani, berwawasan dan bersedia mengemudi perubahan dalam mendepani cabaran masa hadapan. Majlis kemudiannya diteruskan dengan Majlis Pertukaran Dokumen Akad Wakaf Muaqqat Laptop dan Peranti Tablet Perpustakaan UTM sebagai simbol komitmen universiti dalam memperkukuh akses kepada kemudahan pembelajaran serta menyokong pembangunan ekosistem pendidikan yang lebih inklusif dan mampan. Program ini diharap terus menjadi wadah perkongsian ilmu yang menyemarakkan budaya pemikiran strategik dan kecemerlangan dalam kalangan warga UTM.