OHOR BAHRU, 14 Oktober – Jabatan Perpustakaan UTM dengan kerjasama Pusat Islam UTM telah menganjurkan program Living Library Cake Picnic bertempat di Perpustakaan Sultanah Zanariah (PSZ), UTM Johor Bahru. Program yang diadakan bersempena dengan UTM Library Week of Welcome 2026 ini bertujuan menyediakan platform perkongsian ilmu dalam suasana santai dan ceria, sekali gus menggalakkan interaksi serta membudayakan amalan membaca dalam kalangan mahasiswa baharu dan sedia ada.

Program yang berlangsung bermula jam 10.00 pagi ini telah disertai oleh seramai 30 orang mahasiswa UTM. Program dimulakan dengan sesi taklimat ringkas oleh Saudara Muhammad Umar Fitri bin Jamaludin, Naib Presiden PFSS FME merangkap Penyelaras Program, yang memberikan penerangan mengenai perjalanan aktiviti dan kaedah pelaksanaan program.

Sepanjang program, peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan bergerak mengikut tiga stesen yang ditandakan dengan warna biru, putih dan kuning. Setiap peserta berpeluang mengikuti aktiviti di dua stesen dengan tempoh 20 minit bagi setiap sesi. Menariknya, pembahagian kumpulan berubah pada sesi kedua bagi memberi peluang kepada peserta berinteraksi dan bertukar pandangan dengan rakan yang berbeza. Di setiap stesen, para sukarelawan menghidangkan pelbagai jenis kek sambil mengendalikan sesi perkongsian buku secara santai, soal jawab dan kuiz interaktif.

Program melabuhkan tirainya pada jam 11.30 pagi dengan ucapan penutup oleh Puan Khairulbahiyah binti Yaakub, Ketua Pustakawan UTM. Sesi penutup turut memberi peluang kepada peserta untuk berkongsi secara ringkas mengenai buku kegemaran masing-masing. Perkongsian ini mendapat sambutan yang menggalakkan dan memperlihatkan keterujaan mahasiswa untuk berkongsi pandangan serta pengalaman pembacaan dalam suasana yang mesra dan interaktif.

Penganjuran Living Library Cake Picnic mencerminkan komitmen Jabatan Perpustakaan UTM dalam mempelbagaikan pendekatan pembudayaan ilmu melalui aktiviti yang kreatif, inklusif dan mesra mahasiswa. Program seumpama ini diharapkan dapat terus menyemarakkan budaya membaca dan perkongsian ilmu, di samping memperkukuh peranan perpustakaan sebagai ruang pembelajaran, interaksi sosial dan pembangunan komuniti berilmu di UTM.

Share this :
UTM Open Day