Impian sukarelawan Perpustakaan UTM untuk menyantuni program khidmat masyarakat di Sekolah Kebangsaan Mawai, Kota Tinggi akhirnya terlaksana. Program ini adalah cetusan idea Jabatan Pengurusan Organisasi UTM yang turut disertai oleh Perpustakaan UTM, Persatuan Pustakawan Kumpulan Selatan, UTM International, Pejabat Hal Ehwal Mahasiswa, Hal Ehwal Korporat,  Pusat Islam, Pusat Kesihatan, Jabatan Pendaftar,  Pusat Kaunseling dan Jabatan Harta Bina.

Pada 23 Februari 2020, tepat jam 8.30 pagi majlis perasmian program telah berlangsung di dataran sekolah. Majlis dimulakan dengan ucapan aluan guru besar SK Mawai, Encik Jalaluddin Bin Mispan dan ucapan pengarah program khidmat masyarakat, Encik Haironizam Bin Mohamad. Kemuncak program adalah perasmian yang disempurnakan oleh Pendaftar UTM, Encik Abdul Razib Bin Hj Shahuddin dan diikuti dengan sesi penyerahan buku sebagai simbolik projek UTM Reading Station (UTM RS) dan sumbangan bahan bacaan oleh Perpustakaan UTM dan Persatuan Pustakawan Kumpulan Selatan (PPMKS).

Seramai 204 sukarelawan yang terdiri daripada pelajar dan staf UTM telah terlibat dalam program ini. Di antara aktiviti yang dijalankan adalah Program Motivasi Pelajar dan Mentor Mentee (murid tahun 5 & 6), Ceramah Health Awareness, Program Motivasi Ibu Bapa, pemeriksaan kesihatan dan gigi, UTM Bersamamu, Kajian Perancangan Desa,  gotong royong Taman Muhibbah, projek keceriaan sudut pidato dan pusat sumber, Masjid Jamek Kampung Mawai, dan Sekolah Agama Mawai. Majlis diakhiri dengan majlis kenduri muhibbah bersama penduduk kampung.

Sukarelawan Perpustakaan UTM bertanggungjawab menceriakan ruang Pusat Sumber SK Mawai yang berada di Aras 3. Ia melibatkan projek  menyusun atur buku-buku, majalah, bahan pameran, perabot dan meletakkan nombor pada rak buku. Rak UTM RS berserta 250 bahan bacaan turut disumbangkan kepada Pusat Sumber berkenaan.

Acara pada sesi petang diteruskan dengan Program Young School Librarian bagi murid Tahun 5 dan Program Motivasi Smart Muslim Junior bagi murid tahun 6.

Program Young School Librarian disampaikan oleh Puan Syahranah Binti A. Raqi, Pustakawan Kanan, Perpustakaan UTM Johor Bahru di Makmal Komputer SK Mawai melibatkan 30 orang murid tahun 5. Pelajar diberi pendedahan penggunaan bahan rujukan seperti peta, kamus, dan ensiklopedia yang sistematik. Selain itu, turut diadakan sesi kuiz untuk menguji kefahaman pelajar terhadap penerangan yang diberikan.

Majlis penutup telah diadakan sekitar jam 4.30 petang di Dewan Afrin, Aras 2, Blok C. Ia dimulakan dengan ucapan penghargaan oleh Ketua Kampung, Encik Zaini Bin Buang diikuti ucapan penutup oleh Puan Norazlina Binti Md Zaid, Timbalan Pendaftar, Bahagian Pengurusan Organisasi UTM. Turut diadakan acara penyampaian sijil kepada wakil sukarelawan dan sumbangan buku latihan & alat tulis kepada Wakil Murid Tahun 5 & 6 serta sesi bergambar.

Program khidmat masyarakat ini akan diteruskan lagi pada siri kedua bagi memastikan kesemua warga SK Mawai beroleh manfaat yang beterusan selain memberi nilai tambah kepada keperluan masa hadapan berdasarkan maklumbalas yang diterima daripada warga sekolah. Semoga jalinan ukhuwah ini dapat diteruskan dan memberi peluang kepada sukarelawan untuk menimba pengalaman serta mencurahkan  amal bakti kepada warga Kampung Mawai, Kota Tinggi.

Artikel disediakan oleh Pn Liza Binti Porijo

 

Share this :