Dalam Surah Al-Baqarah ayat 215, Allah swt. telah berfirman ” …Apa jua harta benda (yang halal) yang kamu belanjakan maka berikanlah kepada: Kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan orang-orang yang terlantar dalam perjalanan. Dan (ingatlah), apa jua yang kamu buat dari jenis-jenis kebaikan, maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahuiNya (dan akan membalas dengan sebaik-baiknya) . .
Keakraban dan semangat tolong-menolong di kalangan staf Perpustakaan UTM, diterjemahkan melalui Program “Kongsi Rezeki” bagi membantu staf yang terkesan dalam tempoh Perintah Kawalan Pengerakan (PKP) yang berkuatkuasa di seluruh negara pada 18 Mac 2020 yang lalu, akibat daripada wabak COVID-19
Aktiviti yang bermula pada 14 April 2020 itu telah berjaya mengagihkan sumbangan barang makanan dan keperluan harian kepada 22 orang staf Perpustakaan UTM. Namun, disebabkan kawalan pergerakan yang ketat, agihan hanya difokuskan kepada staf yang tinggal di kawasan Taman Universiti, Kuaters UTM dan Kawasan Pulai sahaja. Usaha ini digerarakkan oleh Tuan Haji Nazeri Bin Md.Sarip (Staf Seksyen Automasi PUTM) yang bertanggungjawab menguruskan sumber bantuan untuk diagihkan kepada staf yang telah dikenalpasti. Program ini turut dibantu oleh beberapa orang staf PUTM yang lain iaitu Encik Zul Izuan Bin Hanafiah, Encik Azmi Bin Jufri, Encik Hasbullah Bin Jalil, Encik Salihuddin Bin Bakhri dan Puan Habibah Binti Samsudin. Program ini juga turut mendapat perhatian dan sokongan daripada pihak pengurusan tertinggi Perpustakaan UTM. Alhamdulillah, usaha ini berjalan lancar dan sedikit sebanyak meringankan beban di kalangan rakan-rakan yang terkesan sepanjang tempoh PKP ini.
Musibah pandemik COVID-19 ini secara tidak langsung menerbitkan rasa kebersamaan, berkongsi dan membantu saat diuji. Semoga inisiatif dan sumbangan ini diberkati dan mendapat keredhaan Allah swt.
“Dan makanlah dari rezeki yang telah diberikan Allah kepada kamu, iaitu yang halal lagi baik, dan bertaqwalah kepada Allah yang kepadaNya sahaja kamu beriman” (Al-Ma’idah – 88)
Disediakan oleh Encik Salihuddin Bin Bakhri (Exco Kebajikan KKSPUTM 2017/2019)