Sesi Read & Relax kali ini merupakan siri pertama yang dijalankan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Walaupun dalam tempoh kawalan pergerakan, aktiviti pembudayaan ilmu perlu diteruskan demi menyemarakkan budaya membaca terutamanya ketika semua telah diarahkan untuk kekal duduk di rumah. Aktiviti membaca menyumbang kepada sumber aktiviti yang bermanfaat yang mampu dilakukan dalam keadaan persekitaran yang terhad dan di kala semua orang menghabiskan setiap saat dalam mematuhi arahan PKP.

Sesi kali ini dijalankan melalui aplikasi Cisco Webex pada 30 April 2020 dalam siri ke 7 Program Read & Relax. Penonton hanya perlu untuk turut serta dalam sesi ini secara online. Walaupun dijalankan secara atas talian, namun penyertaan daripada semua adalah sangat memberangsangkan.

Menampilkan dua orang pengulas sudah cukup memberi manfaat kepada yang mengikuti siri ini. Pengulas pertama Ustaz Mohamad Firdaus Bin Pazim @ Fadzim merupakan Pegawai Hal Ehwal Islam daripada Pusat Islam UTM. Manakala pengulas kedua pula adalah Encik Faizal Bin Abd Latib yang merupakan Pegawai Keselamatan daripada Jabatan Pendaftar.

Pengulas pertama Ustaz Mohamad Firdaus Bin Pazim @ Fadzim telah berkongsi tentang sebuah buku yang bertajuk Teladan Bagi Orang Berakal, Kisah-Kisah Dalam Al-Quran Oleh Al-Imam Al-Hafiz Ismail Bin Kathir Al-Qursyi Al-Dimasyqi. Buku ini mengandungi maklumat tentang hukum hakam dan pensyariatan yang di bawa oleh baginda Nabi Muhammad S.A.W dan merupakan kitab yang terakhir yang diturunkan. Di dalamnya juga mengandungi lebih dari 100 kisah tauladan berdasarkan kepada kitab suci Al-Quran. Ia merangkumi kisah-kisah para nabi dan sahabat-sahabat baginda. Buku yang membahaskan tentang kisah para Nabi yang diterbitkan ini adalah terjemahan salah satu daripada karya Ismail bin Katsir Al-Quraisy Ad-Damsyigy atau lebih terkenal dengan nama Ibu Katsir (wafat tahun 774H) yang tertajuk “Qishasnul Anbiyaa’. Pengulas menjelaskan tentang dalam penulisan kisah-kisah ini, pengarang lebih menekankan pada bidang penafsiran yang dihasilkan dari ayat-ayat suci Al-Quran dan ditambah dengan rujukan dari hadis-hadis sahih.

Pengulas yang kedua pula adalah Encik Faizal Bin Abd Latib yang telah berkongsi tentang sebuah buku yang bertajuk Berani Berhijrah karangan daripada Siri Muhasabah Diri, Bercakap Dengan Cermin oleh Bonda Nor. Pengulas tertarik kepada buku tersebut kerana ianya merangkumi beberapa kisah pendek yang di gabungkan dalam satu buku. Selain itu kata aluan yang berada di helaian hadapan juga antara sebab menarik minat pengulas untuk membaca. Ada juga antara cerita pendek tersebut berkait secara langsung dan tidak lansung dengan pengalaman hidup pengulas. Hasil pembacaan buku ini, dapat di simpulkan oleh pengulas bahawa terdapat 5 jenis hijrah yang di gambarkan di dalam buku tersebut iaitu hijrah sikap, hijrah pekerjaan, hijrah persekitaran, hijrah masa dan juga hijrah perasaan.

 

 

 

Share this :