Program Read & Relax Online merupakan satu lagi inisiatif aktiviti menyemarakkan budaya membaca dalam kalangan warga UTM. Ia dijalankan pada ketika arahan Perintah kawalan Pergerakan (PKP) sedang dilaksanakan. Usaha dari Perpustakaan UTM agar terus dapat memberi sumbangan berbentuk perkongsian ilmu kepada semua, maka sesi ini dijalankan atas usaha dan keprihatinan untuk menumbang sesuatu kepada masyarakat.
Siri yang pertama ini menampilkan Tn. Hj. Mohd. Akhirudin Bin Abdul Wahab. Beliau merupakan seorang penulis buku best seller Sepatu Hijrah dan Tuhan Beri Aku Masa. Beliau berkongsi tentang sebuah buku yang bertajuk “Enjoy your life” hasil karya daripada Dr Muhammad Abd Al-Rahaman Al-Arifi.
Buku ini telah dihadiahkan dari seorang sahabat pada 2013 yang pada ketika itu sedang menuntut di universiti di Madinah. Naskhah ini sangat memberi inspirasi kepada pengulas. Malah, kini pada tahun 2020, buku ini masih dibaca oleh pengulas pada mana ketika beliau ingin mencari input baru.
Buku ini adalah kompilasi tentang perjalanan hidup seorang individu yang lahirnya di Arab Saudi dan diberi nama Muhammad Abd Al-Rahaman Al-Arifi. Beliau lahir pada 1970 dan telah menghasilkan lebih daripada 20 buah buku. Buku ini telah dialih Bahasa daripada bahasa arab kepada Bahasa inggeris dan buku ini memang menjadi rujukan ramai orang.
Pengarang mendapat inspirasi untuk menghasilkan buku ini setelah membaca buku hasil nukilan Dale Carnegie yang bertajuk how to win friends and influence people. Dr. Muhammad meletakkan figura seperti Rasulullah S.A.W untuk dijadikan sebagai contoh dan tauladan dalam kehidupan seharian.
Buku ini mengandungi 91 bab dengan jumlah halaman sebanyak 592. Istimewa buku ini sususannya bukanlah mengikut kepada turutan bab. Tetapi setiap bab membawa kepada cerita yang berbeza. Ini membolehkan pembaca boleh mula membaca dari mana-mana bab yang disukai kerana penceritaannya adalah berbeza dan setiap bab mempunyai kekuatannya sendiri. Buku ini merupakan satu naskhah yang hebat kerana pendekatan yang dibawa oleh Dr. Muhammad sangat dekat dengan kehidupan seharian kita. Buku ini boleh dijadikan rujukan dalam mencari sumber inspirasi dalam menjalani kehidupan kerana pengisiannya adalah sangat relevan.