Read & Relax versi online bagi siri keempat kali ini telah diadakan pada 11 April 2020 (Sabtu) menampilkan Puan Noraziah Sharuddin, Ketua Pustakawan, Perpustakaan UTM. Bagi sesi kali ini pengulas telah berkongsi tentang sebuah buku yang bertajuk Cinta Dalam Ujian: Menggali Hikmah Dalam Musibah hasil nukilan bersama oleh Dr. Nur Hanisah, Dr. Saidatul Husna, Dr. Amalina dan Dr. Muhaya Mohamad.
Buku ini adalah dalam format elektronik yang telah dilancarkan pada 1 April 2020 semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedang dijalankan. Penghasilan naskah ini sangat bertepatan dengan situasi pandemik Covid-19 yang dihadapi diseluruh dunia.
Buku ini dimulakan dengan kata pengantar oleh Prof. Muhaya yang percaya bahawa Covid-19 ini adalah ciptaan Allah s.w.t. dan bergerak atas izinNya juga dengan menyarankan agar mengangkat musibah ini dari sudut yang positif.
Buku ini mengandungi tiga bab yang ditulis oleh penulis yang berbeza. Bahasa yang digunakan adalah sangat mudah untuk difahami serta santai. Ianya membuatkan pengulas yakin maklumat yang disampaikan dapat menyentuh hati para pembaca kerana kebanyakan kandungannya disampaikan dalam bentuk point.
Pengulas menerangkan salah seorang penulis iaitu Dr. Hanisah pada bab 1 yang berkongsi 10 perkara tentang cinta covid-19. Bagaimana covid-19 ini mengajar kita untuk lebih peka kepada kesihatan, perkara yang berkait dengan kemasyarakatan dan sebagainya. Turut dikongsikan oleh Dr. Hanisah adalah nota cinta buat mereka yang terpaksa berkurung disebabkan kuarantin.
Turut dikongsikan tentang, “sebelum kuarantin jadi kucing selepas kuarantin jadi singa”, ini merujuk kepada peranan dan emosi seorang ibu yang mengendalikan anak-anak dirumah pada ketika tempoh PKP. Melihat kepada kepayahan dan kesusahan ini perlu dipandang dari sudut positif yang mana ini merupakan peluang serta lubuk pahala buat si ibu yang ikhlas menguruskan keluarga. Dikongsikan juga tentang 5 tips penting keibubapaan dalam covid-19 serta 7 perubahan selepas keluar dari gua yang merujuk kepada fasa selepas berakhirnya PKP ini.
Dr. Saidatul Husna berkongsi tentang tanda-tanda orang yang bertuah. Beliau juga turut berkongsi juga tentang wanita dan pengurusan emosi. Dr. Amalina merupakan seorang doktor yang bertugas di hospital di Kelantan dan telah menghasilkan 9 buah buku. Beliau telah berkongsi tentang 7 perkara wanita harus belajar daripada covid-19. Dikongsikan juga tentang 5 tips tenang dalam covid-19 mangikut kepada tatacara Prof. Muhaya. Prof Muhaya pula berkongsi tentang ciri-ciri manusia yang mempunyai jatidiri yang kuat.
Pengulas merasakan buku ini merupakan buku yang lengkap kerana dapat mengaitkan isi kandungan buku ini dengan covid-19 yang dilihat sebagai musibah tetapi mengambil musibah itu sebagai satu hikmah yang akhirnya menjadikan kita sentiasa bersyukur kepada Allah s.w.t.