Sesi Read & Relax siri yang ke 16 telah diadakan pada 1 Oktober 2020 (Khamis), jam 11.00 pagi di Bilik Eksekutif, Aras 3, Perpustakaan Sultanah Zanariah, Johor Bahru. Menampilkan dua orang pengulas yang merupakan Pegawai Penyelidik dari Jabatan Timbalan Naib Canselor Pembangunan & Inovasi. En. Farizie Bin Abdul Razak dari Unit Research Computing (UTMRC) dan En. Chew Teong Han dari Pejabat Pentadbiran. Sesi pada kali ini masih dijalankan secara webinar dan dipancarkan secara langsung melalui Facebook Live di Facebook Perpustakaan UTM.

Pengulas pertama, En. Farizie Bin Abdul Razak telah berkongsi sebuah buku yang bertajuk Mudahnya Menjemput Rezeki 2 karya Fathuri Salehuddin. Buku ini mendedahkan bahawa menjemput rezeki itu lebih mudah daripada mencari rezeki. Fitrahnya kita mengetahui bahawa rezeki itu kurniaan Allah s.w.t. Kita tidak tahu di mana tempatnya. Justeru, usaha yang kita laksanakan adalah percubaan ke arah menjemput rezeki. Secara sedar atau tidak segala amalan yang kita lakukan mempengaruhi kehidupan. Jika kebaikan yang kita hulurkan maka kebaikan jugalah balasannya. Dan begitulah sebaliknya. Tawakal dan letakkanlah kebergantungan kita sepenuhnya kepada Allah. Mulai dari sekecil-kecil sehinggalah sebesar-besar perkara. Buku ini memuatkan tips serta panduan untuk menjemput rezeki. Antaranya ialah istiqamah dalam mengutama dan menjaga solat, banyakkan berdoa dan mendoakan orang lain, bersedekah dan menjaga hubungan sesama manusia.

Encik Farizie Bin Abdul Razak berkongsi buku bertajuk Mudahnya Menjemput Rezeki 2

Buku ini mengubah persepsi pengulas tentang konsep rezeki. Pengulas mula muhasabah diri menghargai nikmat Allah dan memperbaiki amalan. Buku ini turut menyelitkan sirah Nabi,  ayat al-quran dan hadith sebagai renungan kepada pembaca. Buku ini ditulis secara santai dan mudah difahami.

Pengulas kedua pula iaitu En. Chew Teong Han berkongsi naskhah bertajuk Mindf*Ck: Cambridge Analytica and the Plot to Break America hasil karya Christopher Wylie. Pengulas menyifatkan bahawa Christopher Wylie adalah seorang ‘whistleblower yang menceritakan pengalaman beliau sewaktu bekerja di Cambridge Analytica, London. Pengarang yang berasal dari Kanada ini adalah seorang Ketua Jurutera. Beliau banyak menjalankan kajian terhadap Facebook. Antaranya adalah bagaimana Nigeria memanipulasi data dengan kempen besar-besaran melalui Facebook dan berjaya memenangi pilihanraya. Begitu juga dengan kejayaan Donuld Trump dan Brexit. Rakyat menjadi mangsa terhadap penyebaran propaganda. Buku berunsur politik ini juga banyak menceritakan tentang peranan sosial media, terutamanya sewaktu pemimpin Donald Trump berkempen ketika pilihan raya. Buat pertama kalinya, pemberi maklumat Cambridge Analytica membongkar strategi perlombongan data dan manipulasi psikologi di sebalik pemilihan Donald Trump dan pungutan suara Brexit, yang menghubungkan Facebook, WikiLeaks, perisik Rusia, dan penggodam antarabangsa.

Encik Chew Teong Han berkongsi buku bertajuk Mindf*Ck: Cambridge Analytica and the Plot to Break America

Pegulas berpendapat bahawa kita berhadapan dengan peperangan teknologi. Sebagai contoh, Facebook menganalisa data pengguna sehingga ke tahap mengenali serta memahami sikap pengguna dalam membuat pencarian di Facebook. Pengulas menasihatkan agar kita berhati-hati, jangan mudah terpengaruh dengan apa yang dibaca atau dilihat. Fikir dan analisa kesahihan data sebelum mempercayainya. Plot penceritaan adalah sangat naratif.  Buku ini sangat sesuai dibaca oleh pemerhati politik dan mereka yang terlibat secara langsung dalam perlombongan data. Ia naskhah berat yang di sebaliknya tersirat hikmah dan iktibar yang boleh diteladani.

 

 

 

Share this :