Pada 17-20 September 2018, telah berlangsung program ‘Weeks of Welcome’ Perpustakaan UTM bertempat di ruang lobi Bangunan Perpustakaan Sultanah Zanariah UTM Johor Bahru. Bermatlamat memberi aluan selamat datang kepada pelajar baru secara santai namun informatif, program ini turut mengalu-alukan penglibatan pelajar senior dalam aktiviti yang disediakan.

Melalui aktiviti yang dilaksanakan, pelajar diberi pendedahan kepada pelbagai aspek berkenaan perpustakaan seperti pengenalan kepada perkhidmatan dan fasiliti, peraturan asas menggunakan perpustakaan, teknik pencarian maklumat berkesan dan bimbingan kaedah mengakses pelbagai koleksi perpustakaan secara tepat. Selain itu, pelajar juga diberi bimbingan secara bersemuka tentang penggunaan mesin peminjaman dan pemulangan layan diri, pembaharuan peminjaman dan tempahan bahan rujukan secara atas talian, permohonan ‘Inter Library Loan’ dan semakan akaun perpustakaan.

Pelajar turut berpeluang mengemukakan sebarang kemusykilan berkaitan perkhidmatan perpustakaan dengan pendekatan yang lebih mesra. Menceriakan lagi suasana sepanjang program berlangsung, setiap pelajar yang menyertai aktiviti turut menerima cenderahati kenangan sumbangan daripada staf perpustakaan sendiri. Program yang julung kali diadakan ini telah mendapat maklumbalas positif daripada pengunjung yang mengharapkan agar ianya dapat diteruskan pada masa akan datang.

Share this :