“Kucing”, mungkin tidak semua orang memelihara kucing, dan tidak semua juga mempunyai pengetahuan tentang kucing. Sesi Read & Relax Siri 4/2019 pada 21 Februari 2019 telah membawakan 3 orang pengulas yang berkongsi pengalaman dan pengetahuan tentang kucing.

Pengulas : Pn. Siti Norulhana Hj Miskan
Tajuk : Kucing terapi yang baik
Ringkasan : Perkongsian pengulas mengenai artikel tulisan Angie Bailey ini menyingkap rahsia memelihara kucing sebagai salah satu terapi yang telah berjaya menyembuhkan penyakit kemurungan dan kebimbangan yang dihadapi anak perempuannya.Beberapa kajian telah menunjukkan bahawa haiwan kesayangan dapat membantu mengurangkan penyakit kemurungan yang dihidapi manusia terutamanya kanak-kanak. 5 faktor kucing dilihat sebagai terapi bagi membantu merawat kemurungan kepada manusia adalah kerana hubungan manusia dan kucing adalah tidak rumit (uncomplicated) dan menyenangkan, seterusnya ia dapat memupuk sifat kebertanggungjawaban secara rutin untuk menguruskan kucing peliharaan, malah kucing juga dilihat sebagai sesuatu yang dapat mengalihkan tumpuan daripada memikirkan kebimbangan terhadap sesuatu perkara lain. Selain itu, memelihara kucing juga dapat mewujudkan hubungan sosial antara manusia dan sentuhan fizikal antara manusia dan kucing juga dapat membantu menyembuhkan penyakit yang dihidapi.

 

Pn. Khairulbahiyah Yaakub mengulas buku bertajuk Making the rounds with Oscar

Ringkasan : Buku tulisan Dr. David Dosa mengenai kisah benar Oscar, seekor kucing istimewa dan luar biasa yang dipelihara di Rumah Orang Tua Steere House Nursing Home, England. Keistimewaan Oscar ialah ia seolah-olah dapat menghidu kematian yang bakal terjadi dikalangan pesakit warga rumah orang tua tersebut – dengan cara menemani pesakit hingga ke akhir hayatnya. Keistimewaan Oscar itu sedikit-sebanyak telah membantu tugas penjaga dan perawat di rumah orang tua tersebut kerana ia sebagai “petanda” untuk mereka melakukan persiapan kematian pesakit yang bakal berlaku. Keistimewaan yang dimiliki Oscar ini telah menarik minat Dr. David Dosa untuk melakukan kajian dengan menerbitkan sebuah artikel mengenainya di New England Journal of Medicine. Sehingga 2007, dicatatkan sebanyak 25 kematian yang telah “diramal” oleh Oscar.

 

Cik Nur Fatihah Nordin mengukas buku bertajuk Panduan Asas Memelihara Kucing

Ringkasan : Buku yang sesuai dibaca oleh semua pencinta kucing atau yang bercadang untuk memelihara haiwan kesayangan tersebut. Antara faktor utama yang perlu dipertimbangkan sebelum memelihara kucing ialah faktor kewangan kerana ia memerlukan perbelanjaan dan komitmen yang tinggi untuk memelihara kucing. Selain itu, pemilik kucing juga dinasihatkan untuk merujuk kepada klinik haiwan dan mendapatkan pandangan pakar dalam memastikan kesihatan kucing sentiasa terjaga. Pengulas juga berkongsi tips memelihara kucing iaitu elakkan memandikan kucing terlalu kerap dan memastikan kucing peliharaan tidak dijangkiti kutu kerana ia akan memudaratkan kesihatan kucing tersebut, selain berpotensi untuk mendatangkan penyakit kepada manusia.

Disediakan oleh Pn Norashikin Johari

Share this :