Program Read & Relax Siri 8/2019 telah berlangsung di Perpustakaan Sultanah Zanariah pada 2 Mei 2019 pada jam 11.00 pagi. Sesi kali ini membawakan 2 orang pengulas dengan buku yang sangat menarik dan mempunyai persamaan dalam penceritaan iaitu mengisahkan perjalanan hidup yang dilalui penulis.

Muhamad Haslam Moksen mengulas buku bertajuk Pelukis Jalanan

Ringkasan : Buku yang mengisahkan perjalanan hidup penulis, Teme Abdullah yang menyambung pelajarannya
di sebuah universiti di London, United Kingdom. Pada asalnya beliau mendapat biasiswa untuk ke luar negara namun ditarik kerana keputusan peperiksaan yang tidak memberangsangkan. Walau bagaimanapun beliau tidak berputus asa dan menyambung pelajaran dalam bidang senibina di United Kingdom menggunakan wang pembiayaan sendiri. Maka bermulalah kisah hidup penulis yang penuh dengan cabaran dan pancaroba. Selain terpaksa bekerja sampingan untuk mendapatkan wang, beliau juga terpaksa berlapar kerana kekangan kewangan dan telah dikhianati oleh rakan sekelasnya. Walaupun jalan penceritaan agak santai namun buku ini sarat dengan pengajaran dan iktibar kepada pembaca dalam mengejar kejayaan dan impian yang diidamkan penulis.

Dr. Siti Nisrin Mohd Anis mengulas buku bertajuk The Alchemist

Ringkasan : ​Buku tulisan Paulo Coelho ini menceritakan tentang kisah Santiago, seorang lelaki yang mempunyai mimpi dan keberanian untuk mengikuti mimpinya. Setelah mendapat “petanda”, lelaki tersebut pergi untuk mengejar mimpinya iaitu mendapatkan harta karun yang berada di Piramid di Mesir. Sepanjang perjalanan itu beliau telah melalui pelbagai pengalaman dalam mencari makna kehidupan, kebahagiaan dan tujuan manusia diciptakan di dunia ini. The Alchemist adalah novel yang menarik dengan kisah yang penuh dengan motivasi, keberanian, kegigihan, cinta dan spiritual. Buku ini telah ditulis dalam tiga puluh bahasa dan merupakan salah sebuah buku “International Best Seller” kerana memberi inspirasi kepada pembaca untuk berani mengejar impian yang pastinya akan menjadi kenyataan beserta kesungguhan dengan “bantuan” alam sekeliling.

Disediakan oleh Norashikin Binti Johari

Share this :