Telah berlangsung sesi Read & Relax Siri9/2019 pada 16 Mei 2019 bersamaan dengan 11 Ramadhan 1440H. Dengan semangat Ramadhan kali ini sesi Read & Relax menampilkan isu kerohanian dari 3 pengulas hebat.

Dr Batiah Bt Mahadi mengulas buku bertajuk Sesat ke Syurga

Ringkasan : Berkisar tentang pengalaman peribadi penulis dalam meneroka makna kewujudan insan yakni diri beliau sendiri dan bagaimana mencari titik permulaan dalam menjadikan diri beliau bermanfaat kepada orang lain. Perjalanan dakwah beliau, bermula dari dakwah kepada diri sendiri dan orang-orang terdekat sehingga mampu mengubah kehidupan seluruh sistem masyarakat. Setiap bab yang ditulis terdapat banyak perkara yang menyentuh hati dan perasaan malah dekat dengan kehidupan pengulas sehingga beliau mengakui beliau cukup terkesan. Pengulas menyatakan penulisan buku ini sangat berkait rapat dengan kehidupan ketika di universiti dimana beliau sebagai pensyarah kebiasaanya dikelilingi dengan manusia yang bijak pandai. Sementalahan juga penulis merupakan seorang kakitangan akademik di sebuah universiti awam. Jadi setiap pengalaman yang dikongsi seolah-olah merasakan pengulas turut hadir dalam bayangan penceritaan tersebut. Pengulas juga mengakui beliau mejadi manusia yang tiada perasaan iaitu dalam erti kata yang lain mengenepikan segala emosi dalam mencapai matlamat kehidupan.

Dr Nor Zafir Bt Md Salleh mengulas buku bertajuk Travelog Dakwah : Meniti Hari Esok

Ringkasan : Pengulas menyatakan beliau begitu tertarik untuk membeli buku ini disebabkan tajuknya yang membawa maksud yang tersirat dan begitu mendalam, Selain itu reka bentuk grafik pada muka hadapan buku juga adalah sangat cantik dan menarik. Secara ringkasnya naskhah ini berkisar tentang perjalanan seorang hamba menulusuri kehidupan yang penuh dengan onak dan duri sehingga mampu bersungguh-sungguh meninggalkan dosa untuk menuju ke syurga hakiki. Ianya juga sarat dengan nasihat, pengajaran dan peringatan. Tanpa nasihat dan peringatan kita pastinya akan sesat dan sukar mencari jalan ke syurga. Melalui bacaan ini, pengulas sering menyatakan buku ini adalah sebagai makanan jiwa dan rohani kepada sesiapa yang ingin mencari jalan pulang setelah kian lama sesat mengikut hawa nafsu.

Ustazah Rahmawatulhusna Bt Sokhipul Hadi mengulas buku bertajuk Bahagia & Membahagiakan: Kaedah transformasi minda

Ringkasan : Secara keseluruhan, buku ini berkisar tentang bagaimana setiap individu mampu untuk membahagiakan diri sendiri dan orang sekeliling. Bahagia adalah rahsia hati yang hanya mampu diketahui dan dicipta oleh diri masing-masing. Setiap daripada kita perlu mencari jawapan bagaimana untuk bahagia. Sebenarnya nilai positif setiap individu adalah pendorong utama seseorang untuk mengecap kebahagiaan. Diterangkan juga setiap manusia mempunyai 4 unsur iaitu : rohani, akal, emosi dan jasad dimana sekiranya manusia sentiasa berfikiran positif kesemua unsur-unsur tersebut dapat berfungsi dengan baik dan akan menhasilkan nilai tambah yang berguna untuk keluarga dan masyarakat. Pengulas memaklumkan beliau begitu teruja untuk membuat pembacaan disebabkan ianya begitu dekat dengan diri setiap manusia yang inginkan kebahagiaan dan kesempurnaan. Tanpa sedar, buku ini dapat mengajar setiap pembacanya menangani stress sama ada di tempat kerja mahupun dirumah. Pengulas juga sedar kebahagiaan yang hakiki adalah kebahagiaan di akhirat jua.

Disediakan oleh: Pn Norashikin Johari

Share this :