Sesi Read & Relax masih diteruskan dengan siri ke 16/2019 (PSZJB) yang mengenengahkan 3 orang pengulas yang terdiri daripada staf Perpustakaan UTM.

Pengulas pertama iaitu, Pn. Faridah Patoni mengulas tentang buku yang bertajuk Penawar Kehidupan yang mana buku ini mengisahkan perjalanan manusia yang sering terleka dengan kehidupan di dunia sehingga mereka diuji dan bagaimana mereka membuat pilihan bagi mencari jalan keluar. Ada di antara kita yang memilih laluan sukar hingga tersasar jauh dari Pencipta. Bagaimana manusia boleh terjebak ke lembah maksiat dan melakukan syirik dan khurafat? Biar setinggi mana pun pelajaran, jika tanpa iman dan pertimbangan akal, seseorang itu akan mudah tersasar jauh dalam mentaati perintah agama. Penawar Kehidupan mengajak pembaca untuk berfikir sejenak tentang ibrar kehidupan sebagai hamba-Nya yang tidak lekang dengan ujian.

Pn. Hamsapinah Hamdan mengulas buku bertajuk Diari Super Daddy

Seterusnya pengulas yang kedua iaitu Pn. Hamsapinah Hamdan dengan bukunya yang bertajuk Diari Super Daddy. Buku ini merupakan satu kisah benar kehidupan seorang penulis bernama Khairul Abdullah yang popular menerusi buku “Mentaliti Jamban” yang kini merupakan bapa tunggal kepada tiga orang anak lelakinya setelah pemergian isteri tersayang pada Julai 2018. Beliau merakamkan kehidupan seharian beliau dalam bentuk penulisan diari untuk dikongsi bersama pembaca dalam lenggok bahasa yang santai dan mudah difahami. Pelbagai kisah menarik suka dan duka penulis yang bersendirian menguruskan anak-anaknya yang pastinya dapat menarik minat dan juga menyentuh emosi pembaca. Penulis menggambarkan kehidupan sebagai seorang bapa tunggal yang bukanlah mudah tetapi tidak mustahil kerana bagi beliau “semuanya boleh dibuat selagi ada daya dan usaha”.

Pengulas terakhir disampaikan oleh Pn. Siti Marlia Abd Rahim yang menerangkan tentang satu tesis yang bertajuk Predicting the Character Traits of Future Generations Through the Comprehensive Analysis of Previous Generations. Bahan bacaan ini dipetik daripada sebuah kajian akademik yang dijalankan oleh Adam Willand dan Jason Whitt pada tahun 2012. Kajian ini mengupas tentang karektor peribadi Generasi Alpha atau Gen-A; iaitu generasi yang lahir pada tahun 2010 hingga 2025. Menurut kajian tersebut, Gen-A adalah generasi yang paling berpelajaran tinggi. Mula bersekolah seawal usia 3-4 tahun dan menamatkan pengajian selewat umur 27 tahun. Gen-A merupakan generasi yang paling terpelajar kerana merupakan anak kepada Gen-Y dan Gen-Z. Ibu bapa Gen Y dan Gen-Z terdiri dari mereka yang lebih berkemampuan dan amat mengutamakan pendidikan dan fokus kepada kemahiran teknologi. Secara keseluruhannya, kesedaran tentang ilmu ini amat penting kepada ibu bapa dan juga warga pendidik agar dapat mempersiapkan diri dan anak-anak untuk menghadapi masa hadapan yang pastinya lebih mencabar.

Pn. Siti Marlia Abd Rahim yang memgulas tesis yang bertajuk ‘Predicting the Character Traits of Future Generations Through the Comprehensive Analysis of Previous Generations’

Disediakan oleh Puan Norashikin Binti Johari.

Share this :