Dr. Zulkifli Khair, Pensyarah Kanan di Sekolah Pembangunan Sumber Manusia dan Psikologi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan selaku Fasilitator Bengkel Penulisan

Ada yang menyimpan impian untuk menghasilkan karya sendiri?… Atau mahu berjinak-jinak dalam bidang penulisan?…

Pihak Perpustakaan UTM telah menganjurkan Bengkel Penulisan Umum pada 20 Oktober 2019 bertempat di Bilik Seminar 3, Aras 4, Bangunan Perpustakaan Sultanah Zanariah. Program sinergi bersama Persatuan Penulis Johor ini merupakan salah satu inisiatif Perpustakaan UTM di dalam menyemarakkan budaya membaca selari dengan hasrat kerajaan yang sedang mamacu Malaysia menuju Negara Membaca 2030. Perpustakaan UTM konsisten di dalam membentuk ekosistem membaca yang sihat serta memupuk budaya penulisan dalam kalangan warga universiti dan masyarakat. Malah usaha ini perlu berterusan sehingga ianya menjadi amalan sepanjang hayat. Selain itu, bengkel ini memberi pendedahan kepada pesertanya di dalam memahami teknik serta tip penulisan rencana, buku umum dan penghasilan manuskrip untuk diterbitkan.

Bengkel ini telah dikendalikan oleh fasilitator berpengalaman iaitu Dr. Zulkifli Khair. seorang Pensyarah Kanan di Sekolah Pembangunan Sumber Manusia dan Psikologi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Beliau merupakan Editor kepada Jurnal Kemanusiaan UTM serta AJK Negeri Persatuan Penulis Johor.  Beliau telah menghasilkan lebih 10 buah buku dalam bidang akademik, motivasi dan fiksyen.  Beliau pernah  menerima beberapa anugerah penulisan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Selain itu, beliau pernah berkhidmat sebagai penulis dan koordinator www.muslimheritage.com milik Foundation Science, Technology and Civilization (UK) Ltd., kolumnis Estidotmy terbitan Utusan Malaysia dengan kerjasama Akademi Sains Malaysia serta kolumnis Jendela Selatan terbitan DBP Wilayah Selatan. Beliau merupakan pemilik Sijil Jurnalisme daripada The Writers Bureau College of Journalism, Manchester, UK. Selaku Pengerusi Hidayah Centre Foundation (cawangan Johor) beliau aktif sebagai aktivis sosial.

Bengkel ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan dari dalam kalangan staf UTM malah terdapat juga penyertaan dari pihak luar. Kesemua 19 peserta adalah terdiri daripada staf dan mahasiswa UTM serta  dua (2) penyertaan luar dari Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah. Bengkel yang berjalan selama satu (1) hari ini telah berlangsung dengan lancar dan jayanya.

Disediakan oleh Puan Norashikin Binti Johari.

Share this :