Program Book Review Siri ke-38 kali ini telah disampaikan oleh dua orang penyampai iaitu Pn. Syarifah Syaliyana Syed Ali dan En Helmy Mohd Nor. Program Book Review@UTMKL 2019 merupakan acara mingguan yang berlangsung di Perpustakaan Menara Razak UTM Kuala Lumpur pada hari Khamis jam 8.30 pagi.

Syarifah Syaliyana Syed Ali mengulas buku bertajuk Anak Lorong

Penyampai pertama iaitu Pn. Syarifah Syaliyana Syed Ali berkongsi buku “Anak Lorong” iaitu hasil karya Nor Zailina Nordin. Buku ini ditulis berdasarkan kisah benar perjalanan seorang kanak-kanak yang dibesarkan di rumah anak yatim dan pernah menjadi gelandangan akibat tekanan perasaan serta perkara yang menimpanya. Buku ini menceritakan bahawa tidak semua manusia dilahirkan bertuah seperti yang lain. Semangat dan dorongan dari orang tersayang adalah amat penting untuk membantu seseorang untuk terus maju dan sukses dalam hidup mereka. Segala cabaran, dugaan dan pengalaman akan menjadikan kita lebih baik dan berguna.

En. Helmy Mohd Nor mengulas buku bertajuk “Steal Like An Artist”

Penyampai yang kedua pula iaitu En. Helmy Mohd Nor berkongsi mengenai buku yang bertajuk “Steal Like An Artist”, hasil karya kreatif Austin Kleon. Buku ini merupakan buku tentang 10 cara untuk menjadi lebih kreatif. Seringkali karya yang dihasilkan bukanlah karya yang asli tapi pembaharuan dari karya-karya di dunia ini yang pernah ada. Penulis menyarankan bahawa kita perlulah sentiasa menyediakan buku nota untuk mencatat segala idea serta menyimpan dan mengumpul idea-idea menarik. “Pinterest” adalah satu web yang boleh digunapakai bertujuan untuk mencari ilham apabila bersedia untuk melakukan perkara kreatif pada masa akan datang. Penulis juga menggalakkan untuk mempunyai 2 ruang bekerja berbeza, iaitu analog dan digital untuk menghasilkan kerja yang lebih teratur. Penulis juga menyatakan idea dan hasil kerja akan menjadi lebih baik sekiranya kita berkongsi dengan orang lain, kerana idea akan lebih berkembang luas semasa pertukaran idea dan menjadikan seseorang itu lebih kreatif.

#MalaysiaMembaca
#UTMRead
#UTMMembaca

Disediakan oleh Puan Aznurul Ain.

Share this :