Kehadiran penulis dan penceramah prolifik, Prof. Dr. Muhd Kamil bin Ibrahim dalam Program Bicara Karya anjuran Perpustakaan UTM pada 5 Disember 2019 yang lepas amat dinanti-nantikan. Beliau yang merupakan profesor perakaunan di UniKL Business School, pernah berkhidmat lebih dari 24 tahun di UiTM dan tiga tahun di Universiti Taibah, Madinah, Arab Saudi.

Dilahirkan di Besut Terengganu, Prof. Dr. Muhd Kamil berkelulusan sarjana dari University of Dundee dan PhD dari University of Wales, United Kingdom. Sepanjang karier, beliau telah menjawat pelbagai jawatan pentadbir di UiTM seperti Pengarah Kampus, Dekan Fakulti dan Ketua Pusat.

Prof. Dr. Muhd Kamil juga merupakan seorang penyelidik yang aktif. Artikel beliau yang melebihi 500 judul telah diterbitkan di jurnal dan media masa. Beliau juga telah menulis sebanyak 15 judul buku akademik dan umum. Antara buku tulisan umum beliau yang popular dan mendapat sambutan hangat ialah Travelog Dakwah: Meniti Hari Esok, Bersyukur Saat Diuji, Anekdot Madinah, Bersamamu di Firdaus, Nota dari Madinah dan Usahawan Akhirat. Buku berjudul Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman merupakan salah satu buku hasil nukilan beliau yang laris di Malaysia dengan jualan melebihi 100,000 naskhah. Selain aktif berceramah di masjid, surau, organisasi di dalam dan luar negara, beliau turut diundang sebagai tetamu dan penceramah di RTM, TV3, TV9, Astro dan Radio IKIM.

Dalam Program Bicara Karya kali ini, Prof. Muhd Kamil telah membedah buku hasil nukilan beliau sendiri iaitu Meniti Masa Berbaki, Beri Dua Minit: Fikir, Amal dan Sampai serta Dia Tinggalkan Tanda.

Buku berjudul Meniti Masa Berbaki merupakan karya motivasi kerohanian oleh Prof. Muhd Kamil dan isteri beliau iaitu Roza Roslan. Buku ini membawa pembaca untuk merenung dan bermuhasabah mengenai apakah yang diisi sepanjang hidup, sekali gus membayangkan kesan bakal ditempuhi sewaktu di akhirat kelak.

Manakala buku berjudul Beri Dua Minit Fikir, Amal dan Sampai adalah himpunan tazkirah pendek yang disampaikan oleh Prof Dr. Muhd Kamil kepada khalayak tidak kira di mana lokasinya. Tazkirah yang disampaikan dibukukan agar dapat diambil panduan oleh ibu bapa, pensyarah, guru, ahli usrah mahupun organisasi. Ianya juga sesuai untuk dijadikan sebagai bacaan penambah ilmu.

Dia Tinggalkan Tanda pula ditulis berdasarkan kepada perjalanan pebagai kisah hidup penulis sendiri. Ia disampaikan dengan hati dan perasaan untuk mengaitkan dengan tanda-tanda kebesaran dan kemuliaan Allah S.W.T. Secara hakikatnya, ia adalah juga kisah kita semua. Maksudnya, pelbagai kisah yang dipaparkan akhirnya mengajar individu supaya melatih diri bersabar, redha dan bersyukur apabila diuji.

Dengan kurniaan bakat menulis yang ada, Prof. Muhd Kamil mampu menyentuh hati pembaca dengan gaya tulisan yang bersahaja. Menurut beliau, masa yang terluang digunakan sepenuhnya untuk menulis mengenai pelbagai perkara yang dilalui dalam hidupnya. Di samping itu, beliau juga menganjurkan bengkel penulisan yang percuma kepada yang berminat.

Program Bicara Karya tersebut berakhir dengan sesi penyampaian cenderahati serta sesi jualan buku dan tandatangan bersama penulis. Semoga segala ilmu yang dikongsikan dapat menambahkan lagi pengetahuan dan memberi manfaat kepada semua yang hadir.

Disediakan oleh Dr. Nazrinda A. Samah.

Share this :