Program Book Review @ UTMKL membuka tirai tahun 2020 dengan menjemput pengulas dalam kalangan staf akademik terdiri daripada Ts. Dr. Hafiza Binti Abas, Pensyarah Kanan, Fakulti Teknologi & Informatik Razak (FTIR), UTMKL) dan Dr. Zulhasni Bin Abdul Rahim, Pensyarah Kanan, Malaysia-Japan International Institute Of Technology (MJIIT), UTMKL. Seperti biasa program ini telah diadakan pada 9 Januari 2020 (Khamis), jam 8.30 pagi bertempat di Perpustakaan Menara Razak.

Ts. Dr. Hafiza Abas mengulas buku bertajuk Maafkan Aku, Adriana

Pengulas pertama iaitu Ts. Dr. Hafiza binti Abas mengulas buku bertajuk Maafkan Aku, Adriana hasil karya penulis Ladin Nuawi . Buku ini merupakan kisah penulis sendiri yang tidak mendapat restu untuk mengembara ke India pada tahun 1990 di samping kekangan kewangan yang dialami. Akibat tidak membuat kajian dan perancangan yang teliti terhadap perjalanan, banyak kisah suka, duka, cabaran dan rintangan yang terpaksa di harungi seperti jatuh sakit, kehilangan duit serta kehidupan yang tidak selesa. Dalam kesusahan itu, beliau bertemu “Adriana” yang telah jatuh hati kepada beliau dan mewarnai sebahagian daripada pengembaraan di bumi itu. Diakhirnya, penulis menggambarkan bahawa perjalanan dalam pengembaraan itu adalah ibarat hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri.

Dr. Zulhasni Abdul Rahim mengulas buku bertajuk TRIZ, Technology For Innovation

Pengulas kedua iaitu Dr. Zulhasni bin Abdul Rahim berkongsi buku yang bertajuk TRIZ, Technology For Innovation yang ditulis oleh Isak Bukhman. Buku ini mewakili idea Genrich Altshuller yang merupakan guru dan pengasas kaedah TRIZ. Akronim TRIZ berasal daripada frasa Rusia iaitu “Teorija Reshenija Izobretatelskih Zadach” yang bermaksud “ Teori Penyelesaian Masalah Inventif”. Ia merupakan sains dalam pembangunan sistem yang berpandukan undang-undang evolusi sistem serta  dirujuk sebagai amalan terbaik oleh beribu saintis dan pemaju dalam bidang teknologi. TRIZ sinonim di dalam menunjuk cara berfikir bagi menyelesaikan sesuatu masalah selain untuk peningkatan perkembangan sistem baru mahupun sedia ada. Pengulas berpendapat, buku ini mampu untuk mendorong pembaca berfikir secara  kreatif dalam mencari jalan penyelesaian kepada masalah.

Disediakan oleh Puan Aznurul Ain Bt Abdul Shukor.

Share this :