Pameran Fotografi ‘Dari Sudut Mataku’ yang sedang berlangsung di Galeri Terbuka, Bangunan Perpustakaan Sultanah Zanariah, Perpustakaan UTM, UTM Johor Bahru mulai 9 Februari hingga 9 April 2020 mengetengahkan hasil rakaman lensa ahli Kelab Foto Staf UTM.

Terdahulu foto-foto yang sama dipamerkan di Dewan Sultan Iskandar UTM bersempena dengan Majlis Perutusan Tahun Baharu Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada 21 Januari 2020 yang lepas.

Pameran Fotografi ‘Dari Sudut Mataku’ ini memaparkan keindahan landskap alam semulajadi, senibina struktur dan bangunan, acara dan program yang berlangsung serta rakaman foto ‘candid’ yang mencuit dan menyentuh perasaan.

Manakala jurufoto mendalami subjek yang ingin digambarkan melalui sudut yang unik dalam konteks pemandangan yang dilihat.

Pameran ini bertujuan mewujudkan ‘venue’ dan peluang pengkaryaan kepada penggiat dan pencinta seni fotografi seterusnya memberi peluang kepada warga kampus menghayati dan menikmati nilai estetikanya.

Sehubungan dengan itu, seluruh warga UTM dijemput untuk meluangkan masa hadir bagi menyantuni pameran ini.

Disediakan oleh Dr. Nazrinda A. Samah.

 

 

Share this :