KUALA LUMPUR, 20 Oktober 2026 – Kesedaran tentang kepentingan kesejahteraan mental dalam kalangan mahasiswa menjadi fokus utama program Library On Air@KSJ: Sembang Siswa siri ketiga yang bertemakan Kesejahteraan Mental di Kampus: Jaga Diri, Pelihara Adab. Program ini adalah anjuran bersama Jabatan Perpustakaan UTM Kuala Lumpur, Jawatankuasa Kolej Mahasiswa, Kolej Siswa Jaya dan Bahagian Aktiviti dan Pembangunan Pelajar.

Program yang berlangsung pada jam 5.30 petang di Bilik Kebudayaan, Kolej Siswa Jaya (KSJ), Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur ini merupakan siri penutup bagi program Library On Air@KSJ: Sembang Siswa. Sesi bual bicara ini menampilkan Puan Nor Hasrina binti Mohamad @ Sulaiman, Pegawai Psikologi dari Pejabat Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), dan Akif Firdous bin Nor Azlan, pelajar Fakulti Kecerdasan Buatan UTM Kuala Lumpur, sebagai panel jemputan. Sesi ini dikendalikan oleh Lavinia Mary A/P Ebenazer Arulraj, yang juga merupakan pelajar Fakulti Kecerdasan Buatan UTM Kuala Lumpur, selaku moderator.

Perbincangan ini mengetengahkan pelbagai cabaran yang dihadapi mahasiswa, khususnya dalam mengurus tekanan akademik, membina hubungan sosial yang sihat serta mengimbangi tanggungjawab harian tanpa mengabaikan kesejahteraan diri. Pendekatan yang menggabungkan perspektif profesional dalam bidang psikologi dan pengalaman mahasiswa memberikan gambaran yang lebih menyeluruh tentang kepentingan menjaga kesihatan mental, mengenali batas kemampuan diri serta mewujudkan persekitaran kampus yang saling menyokong dan harmoni.

Dalam perkongsiannya, Puan Nor Hasrina menjelaskan perbezaan antara kesihatan mental dengan kesejahteraan mental yang masing-masing mempunyai penekanan tersendiri. Beliau turut menerangkan bahawa kesejahteraan mental berkait rapat dengan kualiti kehidupan, cara seseorang menilai diri serta keupayaan membina pemikiran yang positif. Sehubungan itu, amalan harian seperti menetapkan matlamat, memberikan kata-kata positif kepada diri sendiri dan mengekalkan motivasi merupakan antara usaha yang boleh dilakukan bagi memupuk kesejahteraan mental secara berterusan.

Sementara itu, Akif Firdaus berkongsi bahawa tekanan akademik dan kecenderungan membandingkan diri dengan orang lain, khususnya melalui media sosial, boleh memberikan kesan terhadap emosi mahasiswa. Beliau turut menekankan kepentingan mengimbangi usaha mencapai kecemerlangan dengan penerimaan terhadap kekurangan diri. Menurut beliau, kegagalan dalam satu semester tidak seharusnya dijadikan ukuran terhadap keseluruhan perjalanan akademik seseorang, sebaliknya perlu dilihat sebagai sebahagian daripada proses pembelajaran dan perkembangan diri.

Aspek adab turut menjadi antara pengisian penting dalam sesi tersebut. Puan Nor Hasrina menjelaskan bahawa adab bukan sekadar berkaitan cara seseorang berinteraksi dengan orang lain, malah turut merangkumi aspek menghormati dan menjaga diri sendiri. Sehubungan itu, mahasiswa perlu mengenali batas kemampuan diri, mengimbangi tanggungjawab serta berani menyatakan ketidakmampuan secara sopan apabila diperlukan. Beliau turut menekankan kepentingan memelihara adab terhadap Tuhan, ibu bapa, pensyarah, rakan sebaya dan alam sekitar, di samping menjaga tutur kata serta tingkah laku ketika berinteraksi, sama ada secara bersemuka mahupun dalam talian.

Perbincangan turut menekankan kepentingan memberi ruang kepada diri untuk berehat tanpa dibebani rasa bersalah. Akif Firdous berkata, bahawa komitmen yang berlebihan tanpa rehat yang mencukupi boleh menyebabkan proses pemulihan tenaga mengambil masa lebih lama. Oleh itu, mahasiswa digalakkan untuk mengenali had kemampuan diri, peka terhadap perubahan rutin dan emosi serta bersikap terbuka terhadap teguran daripada rakan yang prihatin. Langkah ini penting bagi membantu mahasiswa menjaga kesejahteraan diri dan mengekalkan keseimbangan dalam menjalani kehidupan di kampus.

Dalam aspek sokongan sosial, Puan Nor Hasrina menggalakkan mahasiswa mendapatkan bantuan profesional apabila berhadapan dengan tekanan, keresahan, kesukaran mengurus emosi atau dilema dalam membuat keputusan. Beliau turut menekankan kepentingan peranan rakan sebagai pendengar yang baik, aktif dan empati, tanpa terburu-buru menghakimi atau memberikan nasihat yang tidak diperlukan. Menurut beliau, sokongan yang bermakna bermula dengan kesediaan untuk mendengar dan memahami, di samping membantu rakan mendapatkan bantuan yang bersesuaian apabila diperlukan.

“Jangan pendam, jangan simpan. Anda mesti dapatkan bantuan,” ini pesanan Puan Nor Hasrina kepada mahasiswa agar tidak berasa segan untuk mendapatkan sokongan apabila diperlukan. Beliau turut mengingatkan bahawa mendapatkan bantuan merupakan sebahagian daripada usaha membangunkan diri dan kembali memberikan tumpuan kepada kehidupan serta pengajian.

Secara keseluruhannya, Library On Air@KSJ: Sembang Siswa Siri Ketiga mencerminkan peranan perpustakaan sebagai platform perkongsian ilmu dan perbincangan yang relevan dengan kehidupan mahasiswa. Penganjuran program seumpama ini diharapkan dapat meningkatkan kesedaran warga universiti tentang kepentingan menjaga kesejahteraan mental, memelihara adab dan memupuk budaya saling menyokong. Inisiatif ini turut menyokong aspirasi UTM dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah memiliki sahsiah terpuji, nilai empati dan keupayaan mengurus diri secara menyeluruh.

Author : Nurul Hatikah Hasan

Share this :
UTM Open Day