Siri ketiga program Book Sharing@UTM KL diteruskan lagi di Perpustakaan Menara Razak pada 30 Januari 2020 (Khamis) jam 8.30 pagi dengan menampilkan dua orang pengulas yang terdiri daripada Encik Ahmad Redzuan bin Mohd Hanapiah, Penolong Pegawai Latihan Vokasional, Unit Pengurusan Makmal Universiti, UTMKL dan Encik Noor Azam bin Samsudin, Penolong Pegawai Tadbir, UTM International, UTMKL.

En. Ahmad Redzuan Mohd Hanapiah mengulas buku bertajuk Akta Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan dan Peraturan-Peraturan

Pengulas pertama iaitu En. Ahmad Redzuan Bin Mohd Hanapiah telah memilih buku yang bertajuk Akta Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan dan Peraturan-Peraturan terbitan MDC Publishers Sdn. Bhd. Menurut pengulas, buku ini dihasilkan selepas kejadian letupan kilang mercun yang berlaku pada 1991 yang melibatkan 150 orang pekerja. Dalam kejadian itu, 28 nyawa terkorban,  80 orang lagi pekerja cedera manakala selebihnya gagal ditemui. Kesan daripada tragedi tersebut, buku ini diterbitkan sebagai panduan serta rujukan berkaitan tatacara keselamatan dan kesihatan serta peraturan yang perlu dipatuhi demi menjamin keselamatan pekerja serta menyisipkan akta yang mengandungi sembilan (9) peraturan. Pengulas berpendapat bahawa buku ini sedikit sebanyak dapat memberi kesedaran kepada pembaca khususnya yang berkerja untuk mewujudkan SOP dalam skop kerja seharian dan menjadi sumber rujukan utama supaya dapat meminimakan kadar kemalangan di tempat kerja seterusnya mampu menyediakan satu ruang kerja yang selamat dan kondusif.

En. Noor Azam Samsudin mengulas buku yang bertajuk Sifat Haji & Umrah Nabi

Pengulas kedua iaitu En. Noor Azam Bin Samsudin telah memilih buku yang bertajuk Sifat Haji & Umrah Nabi hasil karya Syaikh Muhammad Nashiruddin al-Albani Buku ini menelusuri perjalanan umrah Nabi Muhammad S.A.W. dari Madinah hingga detik terakhir meninggalkan Mekah. Buku ini turut diselitkan dengan doa dan zikir yang diamalkan oleh baginda sepanjang beliau mengerjakan ibadah umrah. Selain itu, buku ini memberi penekanan akan kepentingan mencari dan mendalami ilmu sebelum berhasrat untuk menunaikan ibadah umrah. Sebagai pelengkap panduan ibadah umrah, turut disertakan pelbagai contoh, tatacara, dan tips umrah selain larangan perbuatan bidaah yang bertentangan dalam agama islam. Di akhir perkongsian ini, pengulas turut mencadangkan agar buku ini dijadikan sebagai panduan ibadah haji dan umrah yang bertepatan dengan sunnah nabi.

Disediakan oleh Puan Aznurul Ain.

Share this :