Perpustakaan UTM membuka tirai 2020 dengan penganjuran Program Bicara Karya bertajuk “Sejarah Parti Komunis Malaya” yang berlangsung pada 21 Januari 2020 (Selasa) di Bangunan Perpustakaan Sultanah Zanariah. Program ini merupakan salah satu cabang inisiatif Perpustakaan UTM di dalam menyemarakkan budaya ilmu di kalangan warga UTM disamping menerapkan budaya membaca seiring dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara membaca menjelang 2030. Program ini telah menerima sambutan di luar jangkaan apabila seramai 500 orang yang terdiri daripada staf UTM dan komuniti setempat hadir memeriahkan program. Pengkisahan naskhah ini disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Kassim Thukiman dari Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan, UTM Johor Bahru yang merupakan ilmuan dalam bidang sejarah terutamanya berkaitan sejarah Johor.
Sejarah merupakan fakta, dan sejarah juga merupakan penghubung kepada masa lalu dan masa kini. Semangat kenegaraan memerlukan kefahaman dari segi sejarah, hubungan antarabangsa, sains politik, geografi dan sosiologi. Berpegangkan kepada semangat cintakan tanah air, Prof. Madya Dr. Kassim Thukiman begitu teruja untuk berkongsi sejarah dan fakta yang membuktikan bahawa kemerdekaan tanah melayu pada 31 Ogos 1957 bukan satu perkara yang mudah. Kemerdekaan yang dicapai adalah hasil perjuangan dan air mata rakyat. Antara pengalaman pahit dalam lipatan sejarah kemerdekaan adalah pemberontakan Parti Komunis Malaya (PKM) terhadap pentadbiran British di Tanah Melayu. Darurat hampir meragut peluang negara untuk mengecapi nikmat kemerdekaan. Sejarah perjuangan wira negara menentang pengganas komunis ibarat parut luka besar dalam sejarah Malaysia. Usahlah ditoreh semula luka itu kerana dibimbangi bisanya akan lebih parah lagi. Adalah menjadi harapan agar generasi muda pada hari ini celik sejarah dan terus mempertahankan kedaulatan tanah air tercinta.
Disediakan oleh Puan Norashikin Johari.